My Add

Tuesday 10 January 2012

Kerjasama rancakkan ekonomi 2012

MUHYIDDIN menyampaikan amanat kepada kakitangan awam pada Perhimpunan Bulanan JPM di pekarangan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan (dua dari kiri) Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. – BERNAMA

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG 

PUTRAJAYA, SELASA, 10 Januari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan 2012 sebagai tahun yang mencabar bagi kakitangan awam dan menyimpulkan tempoh tersebut perlu diperkukuhkan menerusi kerjasama serta permuafakatan dengan sektor swasta.

Tegas beliau, sebagai negara utama di dalam ASEAN yang dijangka menjadi pusat pertumbuhan ekonomi ketika dunia dilanda kegawatan, jalinan kerjasama yang baik dengan sektor swasta adalah perlu untuk terus kekal kukuh.

Katanya, untuk itu penjawat awam perlu terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan matlamat tersebut dengan mencari jalan bagaimana proses-proses melibatkan sektor swasta dapat dipermudahkan.

‘‘Lebih baik buat keputusan cepat daripada tidak buat keputusan kerana keputusan yang silap boleh dibetulkan berbanding tidak ada keputusan langsung dan saya percaya kita sudah lakukannya,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, tempoh dua bulan akan datang perlu dijadikan garis panduan untuk menilai trend dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Sepanjang tempoh itu juga beliau tidak menolak kemungkinan akan ada campur tangan kerajaan jika perlu bagi mengelak sesuatu yang tidak baik berlaku.

Semua itu, katanya, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara berkembang kukuh dan rakyat terus hidup selesa, aman dan bersatu padu tanpa ada perkara yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik sehingga memberi kesan kepada kehidupan mereka.

‘‘Dalam dua bulan akan datang kalau dapat diandaikan itulah trend yang akan berlaku, kita harus buat sesuatu intervensi agar yang dikatakan tidak baik itu tidak berlaku dan yang baik itu ditingkatkan supaya prestasi kita lebih cemerlang,” katanya

Timbalan Perdana Menteri berkata, rekod JPM menunjukkan kejayaan menguruskan perbelanjaan bagi pengurusan iaitu RM5.7 bilion (97.52 peratus) dan peruntukan pembangunan RM9.7 bilion (94.52 peratus) dalam keadaan baik sekali.

‘‘Ini menentukan agensi utama negara dapat memainkan peranan penting menjadi peneraju perkhidmatan awam dan agensi contoh dalam menjalankan kerja dengan efisien sehingga memberi manfaat besar kepada rakyat jelata,” katanya.

Menurutnya, walaupun kebanyakan negara utama dunia mengalami keruntuhan ekonomi namun Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan positif dan ini menunjukkan dasar-dasar ekonomi dan tadbir urus negara telah disusun dan disempurnakan dengan baik.

Beliau berkata, bagi meringankan beban rakyat ekoran peningkatan kos sara hidup, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM500 juta untuk bantuan awal persekolahan selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi RM500 untuk isi keluarga berpendapatan bawah RM3,000. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment