My Add

Wednesday 18 January 2012

Kesatuan Sekerja GLC tuntut naik pencen, usia bersara 60 tahun

DARI kiri, Mohd. Roszeli Majid, Mohamed Shafie Mammal dan Abu Shukor Hassan ketika ditemubual oleh media mengenai Kongres Kesatuan Kerja GLC di Ibu Pejabat KPPPTNB, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Januari, 2012: Kesatuan-Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) meminta kerajaan meneliti semula formula bayaran pencen dan had umur persaraan kakitangan di bawah syarikat-syarikat tersebut.

Presidennya, Mohamed Shafie Mammal berkata, kakitangan yang bekerja di GLC berasa kerajaan telah menganaktirikan mereka kerana tidak menerima ganjaran dan faedah yang setimpal seperti kakitangan awam lain.

"Kami berasa kecewa dengan keadaan ini apabila hampir 300,000 kakitangan syarikat GLC hanya menerima bayaran pencen di antara RM150 hingga RM200 sebulan iaitu jumlah yang sangat rendah dan ia berada di bawah paras kemiskinan.

"Kami merayu kepada kerajaan supaya mengkaji dan melihat semula formula bayaran pencen yang sedang digunakan kerana ia mengakibatkan kakitangan di syarikat GLC menerima bayaran pencen sangat rendah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Hadir sama Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNBJOU), Mohd. Roszeli Majid; Presiden Kesatuan Pekerja Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (PETNB), Abu Shukor Hassan dan Presiden Kesatuan Pencantuman Pekerja-Pekerja Tenaga Nasional Berhad (K3TNB), Abu Hussin Nekmat.

Menurutnya, pada era kepimpinan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berlaku perubahan bayaran pencen bagi kakitangan kerajaan dengan bayaran minimum sebanyak RM720, tetapi mereka yang berada di syarikat GLC tidak menerima kenaikan sama.

Selain itu, jelas Mohamed Shafie, pihaknya juga meminta supaya kerajaan menyelaraskan umur persaraan bagi kakitangan di syarikat GLC daripada 55 tahun kepada 60 tahun sejajar dengan had umur pekerja di dalam perkhidmatan awam.

Tambahnya, mereka berhak mendapat keistimewaan itu kerana pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selain masih produktif untuk menyubang khidmat kepada syarikat.

"Sehubungan itu, kami akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjemput beliau hadir ke konvensyen anjuran kesatuan sekerja GLC yang bakal diadakan tidak lama lagi bagi memaklumkan perkara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment