My Add

Wednesday 18 January 2012

Kesederhanaan Malaysia catat banyak kejayaan

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Januari, 2012: Pendekatan kesederhanaan yang digunakan Malaysia bagi menangani pelbagai aspek dalam hubungan antarabangsa berjaya mencatat kejayaan sejak sekian lama.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pendekatan melalui aplikasi peraturan, rundingan, dialog dan perbincangan lanjutan berpaksikan kepada kesederhanaan telah berjaya mencapai kejayaan yang diinginkan.

''Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia berusaha mencapai dan mengekalkan objektif sama yang dikemukakan ketika menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu membentuk hubungan baik dengan semua negara.

''(Dengan itu) kesederhanaan merupakan karektor utama dalam mendefinisikan polisi dalam dan luar termasuk meliputi aspek sosial, politik dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan tengah hari sempena Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini semalam.

Menurut Anifah, kekuatan Malaysia adalah kerana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya tetapi saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, amalan itu telah menjadi asas dalam menjalin hubungan dengan negara-negara jiran.

"Namun, saya mengaku tetap berlaku perbezaan dan masalah dalam masyarakat dan dengan negara jiran. Tetapi yang ingin saya utarakan adalah ia berjaya diselesaikan tanpa menggunakan pendekatan ekstrem,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, pendekatan kesederhanaan yang dikongsi bersama dengan negara jiran membantu mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Nilai dan amalan inilah yang menyaksikan kejayaan di peringkat serantau dan ASEAN," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment