My Add

Wednesday 18 January 2012

Kesejahteraan hidup rakyat agenda utama BN

TAWAU, RABU, 18 Januari, 2012: Kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat menjelang negara ini mencapai status negara maju pada tahun 2020 merupakan agenda paling utama kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, agenda berkenaan jelas terangkum dalam Bajet 2012 yang telah dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen yang menggariskan pelbagai inisiatif dan program menjurus kepada kebajikan rakyat.

"Maknanya, tidak ada lapisan masyarakat yang terlepas daripada jaringan sosial yang telah disediakan oleh kerajaan. Kita tidak kira bulu, kita tidak kira warna kulit, kita tidak kira agama, kita tidak kira apa suku kaum. Asalkan dia rakyat 1Malaysia dia mendapat bantuan daripada kerajaan.

"Jadi usaha sebegini dilakukan oleh kerajaan pimpinan BN untuk membolehkan kehidupan kita ini lebih selesa," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan di Dewan Masyarakat Tawau di sini semalam.

Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 7,000 orang itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh.

Muhyiddin mengingatkan rakyat bahawa selain program sentuhan rakyat seperti bantuan RM100 kepada pelajar sekolah, RM500 kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan dan baucar buku RM200 kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam, terdapat banyak lagi usaha kerajaan untuk menyenangkan rakyat yang mungkin tidak disedari mereka.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM22 bilion setahun untuk subsidi barangan keperluan harian utama rakyat bagi memastikan harga barangan berkenaan terkawal dan relatifnya berbanding bayaran sebenar yang perlu ditanggung rakyat jika tidak ada subsidi.

Katanya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM300 juta setahun untuk subsidi gula manakala kira-kira RM10 bilion setahun pula untuk subsidi diesel dan petrol serta banyak lagi subsidi lain dibayar kerajaan bagi memastikan beban harian rakyat dikurangkan.

"Kalau syarikat-syarikat minyak ini mengenakan harga minyak diesel dan petrol mengikut harga pasaran, RM10 bilion ini mesti keluar daripada poket kita (rakyat). Tetapi tuan-tuan tahu tak, siapa bayar RM10 bilion ini? Kerajaan yang bayar.

"Tak baikkah kerajaan BN?" soal Muhyiddin sambil disambut gemuruh "baik" oleh masyarakat yang membanjiri setiap sudut Dewan Masyarakat Tawau." katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menempelak pihak pembangkang yang cuba memperbodohkan rakyat dengan menuduh kerajaan BN sebagai tidak adil, tidak membela rakyat dan membiarkan rakyat hidup papa kedana.

Katanya, pelbagai pertolongan dan bantuan telah disampaikan kepada rakyat dan rakyat sendiri sudah merasainya sekali gus membuktikan bahawa segala tohmahan pembangkang berkenaan adalah pembohongan semata-mata.

"Kerajaan BN ialah kerajaan berjiwa rakyat. Kerajaan BN adalah kerajaan mendahulukan rakyat. Rakyat Didahulukan di bawah gagasan 1Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat supaya tidak mendengar, terpedaya dan terpengaruh dengan segala tohmahan pembangkang, sebaliknya terus menyokong kerajaan BN agar agenda kerajaan dan masa depan rakyat terus terjamin. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment