My Add

Sunday 22 January 2012

Kikis sifat negatif - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, AHAD, 22 Januari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar)mengajak rakyat mengikis sikap negatif dan memupuk semangat penuh keikhlasan agar dapat terus hidup dalam suasana harmoni, bertoleransi dan saling memahami.

Beliau berkata, dengan memupuk semangat keikhlasan akan membolehkan rakyat bersama-sama menghadapi apa juga rintangan serta cubaan yang mendatang.

"Keikhlasan itulah yang bakal mengikat hubungan antara penduduk pelbagai kaum di negara ini. Tanpa keikhlasan, maka akan timbul rasa hasad dengki dan iri hati serta saling tidak mempercayai antara satu sama lain yang akhirnya akan merosakkan hubungan sesama kita,'' katanya dalam kenyataan sempena Tahun Baru Cina, di sini, semalam.

Muhyiddin menambah, ketulusan dan keikhlasan hubungan sesama kaum di negara ini akan lebih terserlah ketika rakyat meraikan perayaan besar seperti sambutan Tahun Baru Cina ini.

Justeru beliau berharap Tahun Baru Cina yang pastinya disambut meriah oleh semua rakyat tanpa mengira kaum akan menjadi platform kepada rakyat untuk terus bersatu hati dalam semangat cintakan negara.

"Pada kesempatan ini juga, saya dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tionghua di negara ini," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment