My Add

Wednesday 18 January 2012

KL diminta bantu Myanmar

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Januari, 2012 Malaysia mempunyai peluang besar membantu negara-negara di Asia Tenggara terutama Myanmar dalam melaksanakan gerakan kesederhanaan global yang sekali gus menggalakkan perubahan politik yang lebih baik di negara berkenaan.

Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Rantau Asia Tenggara yang berpangkalan di Washington D.C, Amerika Syarikat (AS), Datuk Ernest Z. Bower berkata, ini kerana Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menerajui konsep tersebut dan dilihat bersesuaian dengan apa yang sedang dicapai oleh negara-negara rantau ini.

"Saya berkeyakinan negara di rantau ini (Asia Tenggara) berada di laluan yang betul. AS amat menghargai usaha Najib untuk memimpin ke arah gerakan kesederhanaan global ini dan diharap usahanya itu akan memfokuskan perubahan ekonomi dan politik selain kerjasama di antara negara-negara berdekatan seperti Myanmar.

"Ini kerana negara itu kini sedang menuju ke arah demokrasi yang lebih baik," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada sesi kedua Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) 2012 di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi panel pada sesi itu, Pengarah Institut Pengajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, Malaysia perlu mencipta pakej bersesuaian berhubung konsep kesederhanaan global untuk ditawarkan kepada dunia luar.

"Jika kita mahu mempromosikan kesederhanaan global, kita kena cipta pakej. Idea itu sudah ada," katanya.

Katanya, Malaysia sudah mencapai banyak kejayaan sehingga berjaya menjadi model kepada negara lain namun apa yang menjadi persoalan adakah ia mampu berkongsi pencapaian itu dengan negara lain.

Presiden dan Pengasas Porch of Wisdom Cultural Institution di Iran, Profesor Ayatollah Sheikh Mahdi Hadavi Tehrani pula berkata, daripada perspektif Islam, kesederhanaan adalah amalan yang penting dalam setiap aspek kehidupan manusia.

"Konsep kesederhanaan ini telah semakin diterima terutamanya oleh Barat setelah mereka selama ini beranggapan negatif mengenai Islam," katanya.

Oleh itu katanya, dunia Islam dan Barat perlu berinteraksi di pelbagai peringkat berbeza bagi membolehkan dialog secara berpanjangan dan lebih tulus diadakan dalam membincangkan pelbagai isu berbangkit. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment