My Add

Saturday 7 January 2012

Komponen BN Kadazandusun yakin Star berpeluang di Sabah

KOTA KINABALU, SABTU, 07 Januari, 2012: Parti komponen Barisan Nasional (BN) berasaskan masyarakat Kadazandusun percaya Parti Reformasi Negeri (Star) yang dilancarkan di Sabah semalam tidak mempunyai peluang di negeri ini.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun berkata, parti itu yang berpusat di Sarawak hanya ”memeriahkan” arena politik di negeri ini berikutan dasar Malaysia yang mengamalkan demokrasi.

"Kita yakin parti itu tidak akan dapat memenangi hati rakyat di Sabah kerana parti itu juga tidak diterima di Sarawak.

"Parti itu sudah lama ”tidur” dan tentu sekali sudah banyak bermimpi. Sekarang mereka bangun dari tidur kerana mahu memberitahu apa yang telah mereka mimpi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penubuhan cawangan parti itu di negeri ini yang mana bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menjadi pengerusinya.

Johnny yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkata, parti berkenaan tidak menunjukkan kesepakatan dengan golongan yang turut memperjuangkan hak Sabah dan tidak mahu bersatu dengan parti komponen BN yang mempunyai perjuangan yang sama bagi menguatkan perjuangannya.

"Jika perjuangan mereka sama dengan kebanyakan parti dalam BN, mereka hanya membuang masa dan apa yang mereka buat memang tidak berbaloi,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment