My Add

Sunday 8 January 2012

Kontraktor seleweng, KPDNKK tunggu laporan SPRM

KUALA LUMPUR, AHAD, 08 Januari, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang menunggu laporan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan tuntutan kontraktor penghantar barangan bersubsidi, sebelum mengenakan tindakan terhadap mereka yang terlibat.

Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNKK, Samsudin Awang menerusi satu kenyataan hari ini berkata, KPDNKK memandang serius kes itu dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam penyiasatan kes tersebut.

"Sekiranya hasil siasatan SPRM mendapati penyelewengan itu membabitkan pegawai KPDNKK, maka tindakan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada akan dikenakan kepada mereka.

"Kontraktor didapati terlibat melakukan tuntutan palsu ini akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa termasuk tindakan mahkamah dan disenarai hitam dari melakukan kerja berkenaan,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan SPRM sedang menyiasat kes kontraktor yang terlibat dalam penyelewengan tuntutan bagi kerja penghantaran barangan bersubsidi di pedalaman Sarawak. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment