My Add

Monday 23 January 2012

Kos baiki KD Mutiara ditanggung MMHE - Zahid

BAGAN DATOH, ISNIN, 23 Januari, 2012: Kos membaiki kapal KD Mutiara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terbakar di limbungan Malaysian Marine and Heavy Engineering (MMHE) Sdn. Bhd. di Johor baru-baru ini akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat perkapalan itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerosakan KD Mutiara tidak akan ditanggung oleh TLDM kerana insiden tersebut berlaku ketika MMHE sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan kapal itu di limbungannya.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan MMHE akan membuat tuntutan kepada syarikat insurans berhubung kejadian tersebut.

''Kita harap syarikat MMHE dapat menyegerakan tuntutan kepada pihak insurans kerana kita tidak mahu melambat-lambatkan kerja pengukuran hidrografi yang dijalankan oleh kapal itu.

''Memandangkan kapal itu tidak dapat digunakan, TLDM akan menggunakan kapal lain dengan peralatan sementara bagi melakukan pengukuran di sempadan perairan kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Kampung Sungai Nipah Darat di sini seamalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam pada 12 Januari lalu, kapal KD Mutiara terbakar di limbungan MMHE di Pasir Gudang yang mengakibatkan lebih separuh kapal tersebut musnah.

KD Mutiara merupakan kapal empat tingkat sepanjang lebih 70 meter yang berusia 35 tahun dan digunakan untuk tujuan pengukuran hidrografi dan oseanografi.

MMHE dalam kenyataannya baru-baru ini memberitahu, kerja-kerja baik pulih kapal tersebut sedang giat dijalankan dan dijangka siap menjelang Mei ini.

Zahid berkata, pihak TLDM akan mendapatkan butiran terperinci daripada syarikat tersebut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

''Kita sebenarnya yakin atas kemampuan MMHE dalam menjaga keselamatan kapal di limbungannya, kita harap mereka lebih berhati-hati agar kejadian seumpama ini tidak berulang," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment