My Add

Thursday 19 January 2012

KPDNKK pantau harga barang sempena Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 Jaanuari, 2012: Seramai 1,300 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau harga barangan terkawal di seluruh negara sempena perayaan Tahun Baru Cina, kata Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe. 

Beliau berkata, pemantauan akan dilakukan di 146 kawasan dan daerah, 89 di Semenanjung, 24 (Sabah), 32 (Sarawak) dan satu (Labuan).

"Hari ini saya juga terbabit secara langsung melakukan pemantauan harga, selain pengarah dan penguatkuasa KPDNKK sendiri. Saya amat berpuas hati dengan peniaga di sini.

"Hasil tinjauan saya dapati, peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan kementerian dan saya ingin menasihatkan supaya peniaga tidak meletakkan harga sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Sentul di sini, hari ini. 

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 bermula hari ini hingga 30 Januari ini. 

Beliau meminta peniaga supaya menggunakan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan terkawal yang mana jika gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda RM10,000 dan RM20,000 bagi syarikat. 

Sebanyak 13 jenis barangan diletak di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 antaranya ayam, telur, kubis bulat import dan ikan bawal putih besar. - BERNAMA 

Skim kawalan harga dikuatkuasa menjelang Tahun Baru Cina 

Di KOTA KINABALU, Bernama melaporkan skim kawalan harga selama 12 hari akan diadakan bagi mengawal harga barang menjelang perayaan Tahun Baru Cina, bermula hari ini sehingga 30 Januari ini. 

Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sabah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Balwant Singh, berkata skim itu dikuatkuasakan di 24 daerah di seluruh negeri Sabah, dan peniaga juga harus meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk membezakan jenis barangan.

"Kita serius mengawal dan memantau kenaikan harga barangan di musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga barang di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum lagi menerima aduan tentang kenaikan harga barangan dan juga kekurangan bekalan barang terutama keperluan asas. 

Balwant berkata, mana-mana pihak yang enggan mematuhi peraturan harga barangan yang ditetapkan akan dikenakan denda atau penalti di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. 

Beliau berharap peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya sebaliknya bersikap lebih bertimbang rasa kepada pengguna. 

No comments:

Post a Comment