My Add

Wednesday 11 January 2012

Lelaki Malaysia dalang edar dadah

Ketuai sindiket pengedaran RM106.3 juta syabu, pil ecstasy di seluruh Indonesia 

Oleh Hardi Effendi Yaacob

KUALA LUMPUR, RABU, 11 Januari, 2012: Seorang lelaki warga Malaysia, disyaki dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di Jakarta, Indonesia, ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di bandar raya itu, Ahad lalu.

Sumber memberitahu Berita Harian, penahanannya susulan penemuan 50 kilogram kristal methaphetamine (syabu) bernilai kira-kira RM106.3 juta, yang cuba diseludup masuk ke negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada hari sama.

“Seorang lelaki warga Indonesia, dipercayai anggota sindiket turut ditahan dalam operasi itu. Hasil soal siasat, suspek mengaku bekerja untuk seorang lelaki warga Malaysia di Jakarta, dipercayai dalang sindiket itu, malah memberitahu dadah dirampas sedang dalam proses penghantaran ke rangkaian pengedaran mereka di seluruh Indonesia,” katanya. 

Bertindak atas maklumat suspek, Lembaga Narkotik Kebangsaan (NNB) dan Polis Indonesia menyerbu sebuah kondominium mewah di Jakarta Barat yang membawa kepada penahanan warga Malaysia terbabit. 

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui 357,000 pil Ecstasy yang sudah siap diproses dalam satu bilik di kondominium itu. Berdasarkan penemuan itu, ada kemungkinan kondominium berkenaan digunakan sebagai pangkalan operasi mereka, selain pusat pembungkusan dadah,” katanya. 

Difahamkan, rampasan dadah itu adalah yang terbesar di Indonesia tahun ini, berdasarkan kuantiti dan nilai pasaran dadah dirampas. 

Sementara itu, Ketua Direktorat Narkotik Polis Indonesia, Brigedier Jeneral Arman Depari dipetik sebagai berkata, hasil siasatan mendapati kebanyakan dadah dirampas daripada sindiket terbabit berkualiti tinggi dan tidak menolak kemungkinan ia diseludup dari Malaysia. 

“Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas itu dihasilkan di luar negara, terutama di Belanda dan Iran. Namun, kita tidak menolak kemungkinan aktiviti penyeludupan dikawal sindiket dari Malaysia menggunakan orang perhubungan mereka di Indonesia,” katanya. - BERITA HARIAN 

No comments:

Post a Comment