My Add

Tuesday 17 January 2012

Limau Mandarin cukup untuk Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Januari, 2012: Limpahan limau mandarin di pasaran sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut pada Isnin dan Selasa ini, bukan saja memastikan bekalan mencukupi tetapi juga menawarkan harga yang berpatutan.

Keadaan itu menguntungkan pengguna yang berpeluang memilih, namun bagi peniaga, mereka bukan saja terpaksa bersaing dengan gerai di tepi jalan yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan, tetapi juga dengan pasar raya.

"Pasaran agak perlahan pada masa ini ekoran orang ramai telah berbelanja pada awal tahun bagi persiapan persekolahan anak-anak.

"Saya harap pada minggu ini tempahan akan diterima. Stok bekalan sudah sampai dan buah pun sangat segar dan berkualiti,” kata Pengerusi Syarikat KL Fruits Sdn Bhd, Wong Wai Heng kepada Bernama, di sini.

Syarikatnya yang merupakan pemborong, pembekal dan pengeluar buah-buahan tempatan dan import menawarkan limau mandarin dengan harga borong antara RM28 hingga RM30 sekotak bergantung kepada saiz dan gred limau.

Ah Heng yang mengendalikan Kedai Buah-buahan Ka Ka, pula berkata persaingan dengan pasar raya memberi cabaran hebat kepada peniaga kecil sepertinya.

"Setakat ini saya hanya mampu menjual 10 kotak sahaja namun begitu saya yakin jualan ini akan meningkat pada saat-saat akhir sambutan Tahun Baru Cina,” katanya Beliau menjual limau mandarin gred A dengan harga RM27 bagi lapan kilogram di kedainya yang terletak di Kampung Sri Puchong di sini. Pemilik kedai buah-buahan Fruits Garden Klang Valley, Najib Raja Erman pula berkata, beliau menerima banyak tempahan limau mandarin sejak Disember lepas.

"Memang pada tiap-tiap tahun permintaan pelanggan tinggi. Harga limau mandarin dijual mengikut gred.

"Buah yang tinggi kualitinya adalah gred A, dijual dengan harga RM5 sekilogram dan RM27 bagi satu kotak, buah ini manis dan jika pelanggan tempah banyak harga akan turun lagi,” katanya.


Beliau berkata, paling murah ialah gred C iaitu RM4 sekilogram dan paling banyak mendapat sambutan.

Najib berkata, pelanggan boleh membuat tempahan menerusi laman sosial Facebook Fruits Garden Klang Valley atau terus ke kedainya di Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pasar Chow Kit mendapati rata-rata gerai menjual limau mandarin menjadi tumpuan pelanggan yang mahu mendapatkan buah tersebut pada harga berpatutan.

Seorang peniaga, Tukul Ariwana, 25, berkata beliau menjual pada harga RM4 sekilogram dan harga sebakul pula ialah RM60 yang akan diturunkan lagi jika pelanggan membeli dengan kuantiti banyak.

Tinjauan di dua pasar raya terkemuka di sekitar ibu kota pula mendapati buah itu ditawarkan pada harga RM18 sekotak yang mengandungi antara 24 dan 30 biji sekotak. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment