My Add

Wednesday 11 January 2012

Mahkamah Persekutuan benar permohonan penduduk Bukit Koman

PUTRAJAYA, RABU, 11 Januari, 2012: Penduduk Kampung Bukit Koman di Raub yang mendakwa mengalami masalah kesihatan daripada penggunaan sianida dalam lombong emas di kawasan itu, boleh meneruskan perjuangan mereka daripada segi undang-undang bagi persekitaran bebas pencemaran. 

Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, yang membenarkan permohonan penduduk bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk memulakan semakan kehakiman.

Mereka gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi pada 1 Jun, 2009 untuk memfailkan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Alam Sekitar yang meluluskan laporan awal penilaian kesan alam sekitar (PEIA) membabitkan lombong emas Bukit Koman yang terletak berhampiran dengan tempat tinggal penduduk berkenaan.

Malanjum yang bersidang bersama-sama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop, memberikan kebenaran bagi satu persoalan undang-undang ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan. 

Persoalan itu adalah sama ada mahkamah, dalam menentukan permohonan pelanjutan tempoh untuk memfailkan permohonan kebenaran itu, perlu mengambil kira merit aduan pemohon yang dikemukakan dalam permohonan mereka bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman. 

Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk bagi kebenaran untuk semakan kehakiman atas alasan mereka terlalu lewat memfailkan permohonan itu dan mereka tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mahkamah melanjutkan tempoh untuk mereka memfailkan permohonan mereka itu. 

Perintah 53, Peraturan 6, Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980 menetapkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman perlu dibuat dengan kadar segera dan dalam keadaan tertentu dalam tempoh 40 hari daripada tarikh apabila alasan bagi permohonan dikemukakan buat pertama kali atau apabila keputusan itu disampaikan kepada pemohon buat pertama kali.

Mahkamah Rayuan menerima keputusan Mahkamah Tinggi itu dan menolak rayuan penduduk berkenaan pada 3 Ogos tahun lalu. 

Di luar mahkamah, peguam yang mewakili penduduk berkenaan, Malik Imtiaz Sarwar, berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sudah memutuskan mahkamah hanya akan melihat kepada alasan bagi kelewatan memfailkan permohonan itu dan bukannya merit aduan yang menghalang dimensi kepentingan awam. 

Ketua Pengarah Alam Sekitar meluluskan laporan PEIA pada 13 Januari 1997. Menerusi surat bertarikh 21 Februari 2008, Ketua Pengarah enggan melayan permintaan penduduk supaya menyemak semula PEIA dan mengarahkan Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGMSB) menyediakan laporan terperinci. 

Pada 21 Mac, 2008, empat wakil penduduk, Wong Kin Hoong, Chong Sow Pin, Hue Fui How dan Mustapha Hussin (Mustapha meninggal dunia malam semalam), memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pengarah Alam Sekitar dan RAGMSB. 

Penduduk mahu Ketua Pengarah Alam Sekitar mengarahkan RAGMSB menyediakan laporan EIA terperinci kerana mereka mendakwa laporan awal EIA (PEIA) yang diserahkan oleh syarikat itu pada 27 Ogos, 1996 mengandungi kecacatan serius. 

Mereka mendakwa laporan PEIA tidak memasukkan maklumat mengenai di mana dan bagaimana sisa rawatan lombong emas itu dibuang dan juga tidak mengandungi maklumat mencukupi mengenai sisa efluen. 

Penduduk berkenaan juga mendakwa laporan PEIA itu mempunyai impak bahaya terhadap kehidupan dan nyawa mereka berikutan tidak dimasukkan risiko kilang itu terhadap kesihatan awam dan alam sekitar. 

Mereka juga mendakwa penyediaan PEIA itu tidak membabitkan penyertaan orang ramai. 

Dalam afidavit mereka yang diikrarkan pada 12 Mei, 2009, pemohon mendakwa pada awal Februari 2009, mereka terhidu bau kuat dan beracun beberapa kali sehari, menyebabkan mereka batuk, pening kepala, sukar bernafas, rasa pedih pada mata dan paru-paru, muntah dan ruam pada badan. 

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan dan Suhaila Haron, mewakili Ketua Pengarah Alam Sekitar manakala RAGMSB diwakili sepasukan peguam bela yang diketuai Tan Sri Cecil Abrahanm. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment