My Add

Thursday 12 January 2012

Malaysia kedudukan teratas Destinasi Percutian Mesra Halal

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Januari, 2012:Malaysia berada pada kedudukan teratas Destinasi Percutian Mesra Halal 2012 dalam kalangan 10 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut laman web portal pengembara beragama Islam yang mementingkan aspek halal, Crescentrating.com, Malaysia menduduki tempat pertama kerana negara ini menawarkan banyak aspek halal kepada pengembara Islam.

Tempat kedua disandang Mesir, diikuti Turki, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Maghribi, Tunisia, Jordan, Brunei dan Qatar, menurut kajian yang dilakukan portal itu.

Crescentrating.com menyatakan bahawa kedudukan itu disusun berdasarkan kepada kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan negara-negara berkenaan kepada pengunjung Islam seperti makanan halal, restoran bersijil halal, kemudahan masjid dan tempat tarikan keluarga.

Portal itu turut mengadakan satu kajian mengenai Destinasi Percutian Mesra Halal di kalangan negara-negara bukan anggota OIC pada tahun ini.

Mendahului kedudukan teratas adalah Bosnia dan Herzegovina, tempat kedua Singapura diikuti Afrika Selatan, Sri Lanka, Gold Coast (Australia), Delhi (India), London (UK), Bangkok (Thailand), Munich (Jerman) dan Vienna (Austria). – BERNAMA


No comments:

Post a Comment