My Add

Sunday 15 January 2012

Malaysia tangga ke-4 tumpuan pesara luar negara

KUALA LUMPUR, AHAD, 15 JANUARI, 2012: Malaysia berada pada kedudukan keempat di dunia bagi golongan pesara warga asing, menetap dan menikmati 'masa-masa keemasan' berikutan kos hidup yang rendah di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata
pencapaian Malaysia itu adalah berdasarkan kepada laporan International Living Magazine dalam Indeks Persaraan 2012, yang dikeluarkannya baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata, pesara gemar datang ke Malaysia kerana faktor cuaca yang panas serta masyarakat negara ini yang peramah. 

Menurut International Living Magazine, negara yang paling digemari oleh 
pesara untuk tinggal dan menikmati 'masa-masa keemasan' ialah Ecuador diikuti 
Panama dan Mexico. 

"Kita mengalu-alukan mereka (golongan pesara asing) untuk datang ke Malaysia kerana mereka turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan forum Tanggungjawab Sosial Komuniti bagi Kuala Lumpur anjuran Gerakan di Kompleks Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Sri Delima di Kepong dekat sini, hari ini. 

Dr Koh berkata, kebanyakan pesara yang datang ke negara ini adalah dari 
Eropah, Jepun serta China, terutamanya pada musim sejuk dan mereka gemar 
berkunjung ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru. 

Beliau berkata, ada di antara pesara warga asing itu turut membeli rumah di 
Malaysia menerusi program Rumah Keduaku atau 'Malaysia My Second Home'. 

"Berbanding di United Kingdom atau Amerika Syarikat misalnya, yang kos 
hidupnya tinggi, mereka merasakan selesa untuk berada di Malaysia kerana kos 
hidupnya rendah. 

"...yang datang ini pesara biasa, bukan orang kaya atau jutawan. Cuma 
kerajaan tidak benarkan mereka membeli rumah kos rendah dan sederhana sahaja," 
katanya. 

Mengulas forum tersebut, Dr Koh berkata, ia bertujuan untuk mendapatkan 
pandangan daripada pakar dan orang ramai, untuk dikemukakan kepada 
kerajaan dalam usaha untuk memajukan lagi Kuala Lumpur. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment