My Add

Sunday 15 January 2012

Mangsa banjir di Kelantan meningkat, Pahang kekal

KUALA LUMPUR, AHAD, 15 Januari, 2012: Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat banjir di jajahan Kuala Krai, Kelantan pada sebelah pagi ini terus meningkat kepada 276 orang berbanding 173 orang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, mereka terdiri daripada 61 buah keluarga yang dipindahkan di empat buat pusat pemindahan sementara iaitu di Sekolah Kebangsaan Yuk Chai, Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai, Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh dan Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama.

Menurut jurucakap itu, dua sungai utama iaitu di Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Sungai Golok di Rantau Panjang kini telah melepasi paras bahaya dan keadaan itu boleh menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah dan tebing sungai.

Di PAHANG, mangsa banjir yang ditempatkan di empat pusat pemindahan di daerah Kuantan dan Pekan masih kekal 445 orang pagi ini.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, seramai 122 mangsa dari enam kampung di daerah Kuantan yang melibatkan 29 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan di daerah itu.

"Mangsa banjir terbabit ialah seramai lima orang dari sebuah keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Panching, SMK Gudang Rasau (80 orang daripada 20 keluarga) dan Balai Raya Cherating (37 orang daripada 8 keluarga).

“Daerah Pekan pula masih kekal satu pusat pemindahan iaitu di SK Sinar Mutiara yang menempatkan 323 orang daripada 78 keluarga dari Kampung Cenderawasih,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Di KUALA TERENGGANU, 290 orang daripada 72 keluarga di daerah Setiu hari ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan apabila kawasan kediaman mereka ditenggelami banjir.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, berikutan itu lima buah pusat pemindahan telah dibuka di daerah itu setakat ini bagi menempatkan mangsa banjir berkenaan.

Pusat pemindahan itu ialah di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, Balai raya Kampung Besut, pasar lama Permaisuri, Surau Kampung Besut dan Balai raya Seladang. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment