My Add

Friday 20 January 2012

Maruah: Pesara tentera saman Kuan Yew, 6 Malaysia

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Kapten hari ini memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dan enam pemimpin Malaysia berhubung dakwaan melakukan konspirasi, menipu dan menjatuhkan maruah 403 pegawai ATM yang telah bersara.

Tengku Zainal Abidin Tengku Yusoff, 58, yang mewakili 403 pesara ATM itu, memfailkan saman berkenaan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Tengku Zainal dan 403 pegawai berpangkat Leftenan Muda hingga Jeneral, menamakan Kuan Yew, enam Perdana Menteri Malaysia bermula Tunku Abdul Rahman sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Pertahanan bermula era Tun Abdul Razak Hussein sehingga sekarang iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Pertahanan, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura.

Dalam pernyataan tuntutannya, kesemua plaintif mendakwa Perdana Menteri pertama sehingga keenam dan Ketua Setiausaha Negara telah menipu, melakukan konspirasi dan menyalahguna kuasa mereka untuk menjatuhkan maruah pegawai ATM dengan cara memotong kuantum gaji kor dan elaun pegawai berkenaan dari 1963 sehingga sekarang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment