My Add

Sunday 15 January 2012

Melayu Pulau Pinang makin terhimpit

PULAU PINANG 14 Jan. - Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Salleh berpendapat, falsafah pembangunan yang dipraktikkan di negara ini tidak peka kepada golongan bawahan, sejarah dan budaya.

Menurutnya, projek pembangunan hanya diukur berdasarkan satu faktor iaitu keuntungan kewangan dan tidak mempedulikan perkara lain.

"Inilah yang sedang berlaku di Pulau Pinang apabila orang Melayu di sini semakin 'tergesel' dengan projek-projek pembangunan yang dijalankan.

"Selama 70 tahun saya di sini, saya melihat perkara itu berlaku. Kalau dahulu orang Melayu ada di kawasan bandar, tetapi kini semakin mengecil tempatnya di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangannya dalam syarahan umum bertajukSelamatkan Kampung Warisan Batu Uban dan Kampung Tradisi Tanjung Tokong di Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Turut hadir pengerusi syarahan itu, Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff dan ahli akademik, Prof. Ahmad Murad Merican.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan tentang kerancakan sebuah projek pembangunan di Kampung Batu Uban yang merupakan bandar pelabuhan tradisional Melayu terawal di negeri ini yang wujud lebih 300 tahun dahulu.

Menurut Muhammad lagi, realiti pembangunan di negeri ini pada hari ini menyaksikan orang Melayu cuma mampu 'bernafas' dalam ruang yang sempit.

"Mereka kini berada di flat kos rendah dan sederhana. Keadaan ini berlaku dengan meluas di bahagian pulau seperti Batu Uban, Teluk Bahang, Teluk Tempoyak dan kini merebak ke Seberang Perai membabitkan Jawi, Sungai Bakap, Bukit Minyak dan Kepala Gajah.

"Di luar negara, projek pembangunan tidak boleh mengambil kawasan pantai untuk dibangunkan kerana ia hak bersama, namun perkara sebaliknya berlaku di negara kita," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan untuk siapakah bangunan-bangunan besar itu dibina dan apakah rakyat tempatan mendapat manfaatnya. - MM

No comments:

Post a Comment