My Add

Sunday 22 January 2012

Mohd. Saiful Bukhari ada hak merayu

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

BENTONG, AHAD, 22 Januari, 2012: Keputusan Peguam Negara memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan perlu diterima oleh semua pihak atas nama hak serta keadilan buat bekas pembantu peribadi Ketua Pembangkang itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak Peguam Negara sudah tentu mempunyai asas serta fakta dari segi perundangan yang membolehkan proses rayuan itu diteruskan.

Beliau turut meminta perkembangan terkini kes tersebut tidak dijadikan isu kerana Mohd. Saiful hanya mencari keadilan buat dirinya dan perkara yang sama pasti akan diambil oleh Anwar jika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berada pada kedudukan bekas pembantunya itu.

"Keputusan untuk merayu terletak sepenuhnya dalam tangan Peguam Negara dan ia dilakukan berdasarkan lunas-lunas undang-undang. Oleh itu, perkembangan ini tidak harus menjadi isu terutama di kalangan penyokong PKR.

"Percayalah, sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada Anwar Ibrahim, sudah tentu beliau juga akan membuat rayuan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program Pemukiman Kepimpinan UMNO Terengganu di Janda Baik dekat sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Pejabat Peguam Negara semalam telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Pendaftar, Halilah Suboh ketika dihubungi pihak media, yang turut menyatakan notis tersebut difailkan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi, Bahagian Jenayah kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Notis rayuan tersebut difailkan oleh Ketua Unit Rayuan, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Manoj Kurup.

Apabila ditanya sama ada rayuan tersebut dipengaruhi oleh desakan keluarga Mohd. Saiful, Hishammuddin menegaskan ia tiada kaitan dengan mana-mana pihak, sebaliknya proses tersebut berlandaskan aspek perundangan mengikut pertimbangan Peguam Negara.

''Keputusan untuk rayuan ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk daripada desakan keluarga Mohd. Saiful, sebaliknya ia adalah atas kehendak Peguam Negara berdasarkan bukti-bukti serta keterangan yang ada,'' ujarnya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mengingatkan ahli UMNO supaya tidak melakukan perbuatan memburukkan pemimpin UMNO semua peringkat kerana tindakan itu boleh memberi kesan kepada parti.

Katanya, ingatan itu perlu diberi perhatian serius oleh semua ahli parti agar persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 berjalan lancar.

"Kita telah kaji dua tahun sebelum ini apabila pembangkang serang peribadi individu pemimpin kadangkala kita sendiri yang 'mengipasnya' dan bukannya mempertahankannya.

"Kita harus sedar bahawa ahli-ahli UMNO sendiri yang menaikkan pemimpin, jadi mengapa mereka sendiri hendak cantas pemimpin UMNO. Jangan kita mengiyakan sesuatu yang tidak betul mengenai pemimpin kita,'' katanya. - MM

No comments:

Post a Comment