My Add

Friday 20 January 2012

MPKj tutup Menara Tinjau Ampang

PINTU masuk ke Menara Tinjau Ampang sunyi selepas MPKj mengarahkan semua premis perniagaan di situ ditutup kerana melanggar peraturan, semalam.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bertindak menutup semua aktiviti perniagaan di Menara Tinjau (Look Out Point) di Jalan Hulu Langat-Ampang kerana melanggar peraturan.

Yang Dipertua MPKj, Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman berkata, penutupan itu dibuat setelah pengusaha di situ dikesan melakukan tambahan dan pengubahsuaian yang keterlaluan sedangkan premis mereka berada di kawasan cerun.

Pengusaha juga, katanya, gagal mengemukakan sebarang permohonan pelan atau dokumen yang berkaitan kepada MPKj walaupun telah diberikan lima notis sejak Ogos 2011.

"Notis terakhir di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 ditampal di premis berkenaan kelmarin dan operasi menutup telah dilakukan semalam.

"Selain itu, ada juga pengusaha yang dikesan beroperasi tanpa lesen," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Hasan Nawawi berkata, tindakan itu perlu diambil bagi mengelak kejadian runtuh memandangkan keseluruhan bangunan yang didirikan tidak pernah mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).

"Berlaku pertikaman lidah antara pengusaha dengan kakitangan MPKj semasa operasi penutupan dilakukan. Pengusaha yang tidak berpuas hati boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk tindakan lanjut," katanya.

MPKj, katanya, telah meletakkan batu penghalang di pintu masuk ke kompleks itu dan orang ramai tidak dibenarkan memasuki kawasan itu untuk sebarang aktiviti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment