My Add

Wednesday 18 January 2012

Muhyiddin rasmi pra-pelancaran KL World Robot Olympiad


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan majlis pra-pelancaran Kuala Lumpur World Robot Olympiad (WRO) 2012 di Kementerian Pelajaran di Putrajaya. Turut sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong (kanan) dan Pengarah Urusan Sasbadi Sdn Bhd, Law King Hui (dua dari kiri). (berita lanjut) - Foto Fariz Iswadi Ismail


PUTRAJAYA, RABU, 19 Januati, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyempurnakan majlis pra-pelancaran Kuala Lumpur World Robot Olympiad (WRO) 2012 sempena pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah kejohanan terbabit buat pertama kalinya. 

Kejohanan dari 9-12 November itu dijangka disertai oleh kira-kira 400 pasukan dari 40 buah negara dari seluruh dunia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada majlis itu, peluang untuk menjadi tuan rumah WRO 2012 akan digunakan sepenuhnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi melalui penubuhan kelab robotik di sekolah-sekolah.

"Dari situ, pihak Kementerian Pelajaran berharap dapat membentuk 50 pasukan robotik yang mantap untuk memberikan saingan hebat dalam WRO 2012 kelak," tambah kenyataan itu. 

Pada majlis sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut melancarkan laman web rasmi kejohanan terbabit iaitu www.wro2012.org yang memuatkan segala maklumat berkaitan kejohanan itu bagi kemudahan orang ramai. 

WRO, yang menjadi acara tahunan yang dianjurkan sejak 2004 adalah kemuncak kepada Pertandingan Robotik Kebangsaan iaitu pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn Bhd dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). 

Penyertaan negara setiap tahun dalam kejohanan antarabangsa itu sehingga kini berjaya membawa pulang tujuh pingat emas, lapan pingat perak, lima pingat gangsa, enam anugerah khas dan 21 anugerah kecemerlangan, selain merangkul gelaran juara keseluruhan sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada 2009 dan 2010. 

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment