My Add

Sunday 8 January 2012

Mustahil perhimpunan esok tiada bersyarat - Hishammuddin

KLUANG, AHAD, 08 Januari, 2012: Menteri Dalam Negeri berkata, mustahil bagi polis membenarkan perhimpunan kempen bebaskan Anwar esok tanpa sebarang syarat sebagaimana yang didakwa oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakyat boleh menilai sendiri kenyataan Azmin itu dan tindakannya yang diibaratkan seperti “cakap tak serupa bikin”.

"Mustahil polis akan keluar dan membuat sidang media bersama selepas mesyuarat sebagaimana (yang) diakui oleh Azmin adalah panjang dan terperinci, tanpa membincangkan situasi serta fahaman bagaimana nak pastikan perhimpunan aman tanpa mempersetujui syarat-syarat tertentu,” katanya lagi.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan jentera pilihan raya umum dan Skuad IT Pergerakan Wanita UMNO Semberong di Dewan Taman Sri Lambak di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Polis dan kementerian-kementerian yang berkaitan telah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan esok.

"Kita belajar daripada Bersih 2.0, jikalau tidak menjawab skrip mereka dan tuduhan mereka walaupun tidak benar, tetapi mereka gunakan internet untuk menimbulkan gambaran buruk untuk digunakan oleh media luar,” katanya.

Bagaimanapun, kata Hishammuddin, pembangkang tidak boleh menipu semua rakyat dan akhirnya penipuan mereka itu akan terdedah.

Beliau berkata, perhimpunan anjuran pembangkang esok merupakan suatu “pertimbangan peribadi dan tiada lain” kerana mahkamah belum lagi membuat sebarang penghakiman terhadap dakwaan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment