My Add

Sunday 15 January 2012

Najib sahkan aset NFC dibeku

PARIT BUNTAR, AHAD, 15 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan aset Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) telah dibekukan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada syarikat itu.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyerahkan kepada Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk mencari penyelesaian terbaik termasuk mengenai masa depan syarikat projek lembu daging itu.

"Sebenarnya aset NFC memang sudah dibekukan. Saya sudah serah kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengkaji penyelesaian terbaik dalam soal NFC.

"Satu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sedang berjalan dan satu lagi mengenai masa depan NFC itu sendiri," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Padang Bandaran di sini semalam.

Beliau ditanya mengenai perkembangan isu NFC yang dikaitkan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO mula bercuti rehat daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu bermula semalam bagi membantu siasatan kes itu.

Dalam perkembangan sama, Najib menyifatkan keputusan Shahrizat itu sebagai tepat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan rapi.

"Saya telah berbincang dengan beliau dan keputusan itu tepat bagi membolehkan pihak berkuasa buat siasatan rapi. Shahrizat beritahu saya beliau sanggup disiasat sepenuhnya.

"Apa yang akan berlaku kemudian tertakluk kepada hasil siasatan yakni siasatan dari awal lagi. Maknanya sama ada dia sebagai seorang menteri terlibat dalam proses pemberian kepada kontrak itu," jelasnya. - MM


No comments:

Post a Comment