My Add

Monday 16 January 2012

Nazri Aziz tak setuju pengundi baru mulai usia 20 tahun

Oleh HASHIM P. MAMAT

PADANG RENGAS, ISNIN, 16 Januari, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak bersetuju dengan cadangan pendaftaran pengundi baru bermula pada usia 20 tahun dan mengundi secara automatik sebaik sahaja mencapai usia 21 tahun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, berkata, cadangan tersebut tidak wajar dilaksanakan kerana seolah-olah mahu mewajibkan setiap rakyat negara ini mendaftar sebagai pengundi.

"Negara ini sebuah negara demokrasi dan rakyat perlu diberi pilihan mahu mendaftar sebagai pengundi atau tidak apabila mencapai umur 21 tahun.

"Kita tidak boleh paksa orang menjadi pengundi. Itu soal peribadi mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan angpau Tahun Baru Cina kepada 200 orang warga emas di Kampung Baru Sauk dekat sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya sedang meneliti cadangan pendaftaran pengundi baru bermula pada usia 20 tahun dan mengundi secara automatik sebaik sahaja mencapai usia 21 tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menyifatkan ia sebagai cadangan baik kerana membolehkan seseorang menyertai proses pilihan raya di negara ini sebaik sahaja mencapai usia tersebut.

Menurut Mohamed Nazri, jika dilaksanakan, sistem baru itu akan menyusahkan ramai orang dan menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut di tempat pembuangan undi.

"Kalau didaftarkan secara automatik mengikut alamat pada kad pengenalan yang ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), nanti ketika pilihan raya, orang itu tidak tahu di mana tempat mengundi kerana mereka telah berpindah atau bekerja ke tempat lain.

"Bayangkan, bukan seorang dua sahaja akan mengalami masalah begini, malahan, beribu-ribu orang akan susah kerana tidak tahu di mana mereka boleh mengundi," katanya.

Tambah beliau, ekoran itu, sistem baru itu juga akan menyebabkan peratusan keluar mengundi jatuh kepada 30 peratus sahaja sehingga memberikan gambaran tidak baik seolah-olah rakyat tidak mahu keluar mengundi.

Katanya, ia berbeza dengan sistem sekarang kerana rakyat mendaftar sendiri kerana mahu mengundi dan mereka tahu tempat mengundi, sekali gus menjadikan peratus keluar mengundi tinggi iaitu antara 70 dan 80 peratus.

"Kita lihat apa yang berlaku di Bosnia apabila rakyatnya dipaksa, jumlah mereka yang keluar mengundi cuma 30 peratus sahaja. Macam mana sebuah kerajaan mendapat mandat daripada sebilangan kecil rakyat sahaja," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment