My Add

Sunday 8 January 2012

NGO, UMNO buat laporan polis

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, HARIS FADILAH AHMAD, MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM, ROZIANAH RISMAN dan NOOR HANIS HARUN

KUALA LUMPUR, AHAD, 08 Januari, 2012: Beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UMNO semalam membuat laporan polis kerana bimbang berlaku perlanggaran syarat yang ditetapkan oleh polis sehingga mencetuskan kekecohan semasa perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 di sini Isnin ini.

Ini termasuk sekiranya keputusan kes liwat yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memihak kepada Ketua Pembangkang tersebut.

Di IBU NEGARA, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat laporan polis kerana khuatir berlaku kekecohan dan kesesakan lalu lintas.

Yang Dipertuanya, Sharifuddin Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan itu sekiranya keputusan mahkamah tidak seperti diharapkan penyokong pembangkang.

Di HULU LANGAT, Perkasa Kajang membuat laporan polis bagi membantah keputusan pihak berkuasa membenarkan perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 kerana bakal mengganggu ketenteraman awam.

Penyelarasnya, Ezma Redza Abd. Rahim sehubungan itu meminta polis menarik balik keputusan tersebut dan meminta diadakan di stadium tertutup.

Di KUALA LIPIS, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat membuat laporan polis bagi membantah keras perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis pada pukul 11.30 pagi ini.

Abu Jimi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis berkata, perhimpunan itu dibimbangi akan menjejaskan ketenteraman awam dan mengganggu keselesaan orang ramai bekerja walaupun pihak penganjur diberi kebenaran bersyarat oleh polis.

Di IPOH, Pergerakan Pemuda Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Koperasi Pembangunan Ekonomi Melayu Muda Sungai Siput Utara Berhad membuat laporan polis kerana bimbang perhimpunan tersebut akan bertukar ganas dan menjejaskan ketenteraman awam.

Di MELAKA, Perkasa negeri turut membuat laporan polis menerusi Yang Dipertuanya, Abdul Rahim Osman kerana tetap percaya akan wujud penyokong pembangkang yang taksub dan akan mencetuskan kekecohan.

Di SEREMBAN, Pertubuhan Islam Gabungan Amal (PER3) telah membuat laporan polis, di sini kerana bimbang perhimpunan itu boleh mencetuskan kekecohan.

Pengasas Am dan Naib Presiden PER3 Malaysia, Datuk Jamal Ibrahim berkata, beliau juga meminta rakyat berfikir kesan perhimpunan itu terhadap negara. - MM

No comments:

Post a Comment