My Add

Saturday 7 January 2012

Nik Aziz keterlaluan - Ibrahim Ali

PASIR MAS, SABTU, 07 Januari, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan tindakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru rakyat turun ke jalanan Isnin ini sebagai keterlaluan dan tidak wajar sama sekali.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Nik Abdul Aziz sebagai seorang ketua kerajaan sepatutnya menyeru rakyat supaya menghormati dan mematuhi undang-undang bagi memastikan keamanan dapat diteruskan.

Beliau berkata, tindakan tersebut akan menyebabkan rakyat merasa keliru sehingga ada yang beranggapan undang-undang boleh dilanggar.

"Saya menghormati Nik Aziz sebagai orang tua dan ulama tetapi saya tidak menghormati kenyataannya sebagai ketua kerajaan dan pemimpin kerana ia mengelirukan orang ramai.

"Tidak pernah dalam sejarah saya menjadi Ahli Dewan Rakyat dan dalam dunia politik, seorang ketua kerajaan atau pentadbir di negara ini menyeru rakyat melanggar undang-undang.

"Beliau juga mengatakan bahawa orang yang menghalang perhimpunan tersebut sebagai penghasut. Jadi beliau telah melemparkan tuduhan liar kepada polis kerana pasukan keselamatan itu yang menghalang perhimpunan pada 9 Januari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Tanaman Stevia di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kubang Sepat, di sini semalam.

Semalam, Perkasa Kelantan membuat laporan polis terhadap Nik Abdul Aziz berhubung kenyataan beliau menghalalkan perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 pada Isnin ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment