My Add

Monday 23 January 2012

Nik Aziz, menantu perlu isytihar harta

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 Januari, 2012: Pemimpin pembangkang diminta turut membuat gesaan terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya Abdul Ariffahmi Ab. Rahman mengisytiharkan harta masing-masing sebelum meminta orang lain berbuat demikian

Timbalan Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ikhsan Wan Muhammad berkata, langkah itu penting bagi menunjukkan pemimpin pembangkang juga telus dan mahukan kebenaran.

''Jika imej bersih dan alim serta kononnya baik yang ditampilkan oleh Mursyidul Am Pas itu benar maka pemimpin pembangkang juga perlu bersikap sama dengan meminta Nik Abdul Aziz dan menantunya mengisytiharkan harta mereka.

''Ini kerana terdapat dakwaan berlaku penyelewengan dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang sebelum ini diterajui oleh Menteri Besar dan menantunya itu,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mahu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan ekoran isu berkaitan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC).

Menurutnya, kedua-dua mereka perlu melaksanakan satu garis panduan sebelum mengeluarkan kenyataan dan mendesak pihak lain meletak jawatan atas kes yang masih dalam siasatan.

"Mereka berani mendesak Shahrizat meletak jawatan, jadi mereka juga perlulah bertindak sama terhadap Nik Abdul Aziz dan menantunya," katanya.

Baru-baru ini, OMBAK dan Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak) turut mempersoalkan tentang tiada tindakan diambil oleh SPRM berhubung siasatan terhadap Abdul Ariffahmi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

Kata Wan Khairul Ikhsan, Saifudin Nasution dan Rafizi tidak boleh menuding jari ke atas orang lain dan melindungi kesalahan ahlinya kerana secara asasnya rasuah merupakan perkara yang tidak boleh dipolitikkan.

"Secara peribadi, kalau mereka berdua tidak bersalah, isytiharkan sahaja jumlah harta dan perlu dihukum jika mereka bersalah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment