My Add

Tuesday 10 January 2012

Pakatan lancar manifesto sempena konvensyen Sabtu ini

 Ir Phahrolrazi Zawawi  



ALOR SETAR, SELASA,10 Januari, 2012: Pakatan Rakyat akan melancarkan manifesto mereka pada Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar 14 Januari ini.

Pelancaran tersebut akan dibuat pada program 'Rapat Rakyat Perdana' di sebelah malamnya yang akan dihadiri pimpinan utama Pakatan Rakyat, lapor Warta Kedah yang dipetik Harakahdaily

“Ceramah umum akan bermula pada pukul 9.00 malam dan serentak dengan itu juga kita akan mengadakan pelancaran manifesto Pakatan Rakyat pilihanraya umum ke-13,” kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi merangkap Pengarah Sekretariat Konvensyen.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon semalam.

Rapat Rakyat Perdana adalah program kemuncak konvensyen kali ini yang akan bermula dengan solat maghrib berjamaah, solat hajat, kuliah Datuk Dr. Harun Din sebelum mendengar ceramah dari pimpinan utama Pakatan.

Dalam pada itu juga, konvensyen kali ini dijangka akan dihadiri 100,000 rakyat termasuk perwakilan dan pemerhati.

Phahrolrazi (gambar) berkata, pemilihan Kedah sebagai tuan rumah untuk program itu kali ini sangat bermakna kepada seluruh rakyat negeri itu.

Pada konvensyen tersebut, semua tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat akan hadir antaranya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim kit Siang.

“Konvensyen kali ini bertemakan ‘Bersihkan Malaysia’ dan akan dihadiri oleh semua tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat.

Ucapan pembukaan akan disampaikan oleh (Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai tuan rumah, kemudian diikuti (Ketua DAPSY) Anthony Loke, (Setiausaha Agung PAS) Datuk Mustafa Ali dan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin Nasution.

Selain mereka, hadirin juga akan mendengar rintihan suara rakyat dalam slot ‘Suara Hati Nurani Rakyat Malaysia’ yang bakal menampilkan Datuk A. Samad Said sebagai wakil Budayawan, Prof. Dr Aziz Bari sebagai wakil Akademik serta lain-lain termasuk wakil Felda, penjawat awam, NGO, Pemuda & Mahasiswa serta wakil dari Sabah dan Sarawak.

Ucapan penggulungan pula akan disempurnakan oleh pimpinan utama parti-parti dalam Pakatan Rakyat termasuklah Tuan Guru Nik Aziz, Datuk Seri Anwar, Tuan Guru Abdul Hadi, Karpal Singh, Lim Guan Eng dan Azmin Ali.

No comments:

Post a Comment