My Add

Friday 20 January 2012

Pakej kehidupan di Malaysia banyak kelebihan: Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beramah mesra dengan pelajar Sekolah Agama Al Zubair Ibnu Awam sejurus tiba di Masjid Al Zubair, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, bagi menunaikan solat Jumaat hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, Malaysia mempunyai pakej terbaik sebagai sebuah negara berdasarkan taraf kehidupan dan kemudahan yang mampu dikecapi rakyat. 

Najib berkata, walaupun negara lain mungkin mempunyai kelebihan daripada aspek tertentu tetapi jika dilihat secara pakej keseluruhan, Malaysia mempunyai kelebihannya.

"Mungkin dari aspek tertentu ada negara yang lebih baik dari Malaysia. Tetapi sebagai satu pakej, dari segi 'value for money' (nilai untuk wang), susah kita hendak kata ada tempat yang lebih baik dari Malaysia.

"Dari segi harga minyak, sewa rumah ataupun kos rumah dan segala-gala keadaan...jauh lebih baik di Malaysia sebagai satu pakej," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kg Kerinchi di Lembah Pantai di sini hari ini. 

Turut sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. 

Kunjungan itu adalah sebahagian daripada Program Turun Padang Perdana Menteri di Kuala Lumpur yang bermula awal pagi tadi di Wangsa Maju diikuti lawatan ke Bandar Tun Razak di Cheras. 

Malah, Najib berkata rata-rata pelawat asing yang ditemuinya juga turut mengakui kagum dengan apa yang dicapai negara sehingga kini. 

"Tiada tempat lain yang boleh memberi 'value for money', nilai wang yang kita perolehi, segala kemudahan. Segala produk, tempat tinggal, hotel dan barangan lain". 

Perdana Menteri berkata, pakej terbaik yang dimiliki Malaysia itu akan sentiasa ditambahbaik dengan lonjakan berganda untuk memastikan Malaysia setaraf negara maju lain. 

"Penambahbaikan yang kita akan buat bukan secara berdikit-dikit tetapi lonjakan berganda," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment