My Add

Monday 9 January 2012

Pas Kedah seleweng fakta?

TANAH wakaf khas Masjid Alor Malai (lama) masih dikekalkan walaupun dibina Kompleks Al-Bukhary yang baru berlatarbelakangkan pasar raya Giant, Alor Setar, Kedah.

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR, ISNIN, 09,  Januari, 2012: Kerajaan Pas Kedah didakwa menyeleweng fakta sebenar mengenai isu merobohkan Madrasah Salihiah di sini, apabila menggambarkan tindakan itu sama seperti pembangunan Kompleks Al-Bukhary di Alor Malai semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, isu merobohkan Madrasah Salihiah yang dibenarkan kerajaan Pas Kedah adalah berbeza dengan pembangunan Kompleks Al-Bukhary, di sini pada 2003.

Katanya, dalam isu Madrasah Salihiah, kerajaan negeri merobohkan sebuah surau dan mengambil tanah wakaf khas untuk membangunkan sebuah kompleks beli belah.

Bagaimanapun, jelasnya, pelaksanaan pembangunan Kompleks Al-Bukhary pula melibatkan tindakan merobohkan masjid sedia ada untuk pembinaan sebuah masjid baru yang lebih baik, luas dan selesa di kawasan yang sama.

"Masjid baru berkenaan boleh menampung lebih 3,000 jemaah berbanding masjid lama yang hanya dapat menampung kira-kira 500 jemaah.

"Penduduk juga menyatakan persetujuan bagi pembinaan masjid baru itu. Situasi ini amat berbeza dengan isu Madrasah Salihiah yang mana jemaah dan waris tanah wakaf berkenaan menentang tindakan meroboh premis tersebut," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Usahawan negeri, Abdul Ghani Ahmad baru-baru yang mendakwa kejadian meroboh surau turut berlaku semasa Kedah diperintah BN.

Ahmad Bashah berkata, dakwaan Abdul Ghani jelas menggambarkan kerajaan Pas Kedah tersepit dengan kebangkitan suara rakyat di seluruh negara yang membantah tindakan merobohkan Madrasah Salihiah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tapak Masjid Alor Malai di Jalan Langgar yang dibina atas tanah wakaf khas masih dipelihara dan dipagarkan, manakala Masjid Al-Bukhary dibina berdekatan tapak itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment