My Add

Friday 20 January 2012

Pas sepatutnya diberi hak portfolio Hal Ehwal Islam

PUTRAJAYA, JUMAAT, 201 Januari, 2012: Pas seharusnya diberi hak memegang portfolio Hal Ehwal Islam kerana ia merupakan sebuah parti Islam yang berada di dalam kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan dilihat telah mengurangkan peranan Pas sebagai sebuah parti Islam.

Namun katanya, keputusan pelantikan Exco dan pembahagian portfolio merupakan hak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan kerajaan di peringkat negeri.

''Saya tidak tahulah kalau ia (keputusan itu) merendahkan atau tidak (Pas), tetapi mungkin ada penilaiannya. Sepatutnya kalau kita lihat, Pas bukan hanya boleh laksanakan portfolio belia dan sukan.

''Tetapi saya tidak tahu hari ini PKR boleh berfungsi menjaga bidang agama walaupun Pas sebagai parti Islam seharusnya yang patut menyuarakan tentang Islam," katanya kepada Utusan Malaysiadi sini, semalam.

Beliau diminta mengulas rombakan kecil kerajaan PKR Selangor semalam yang dilihat telah memberi tamparan kepada Pas apabila portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Hasan Ali kini dijawat Menteri Besar.

Dalam perkembangan berlainan, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, menyambut baik cadangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) supaya salinan pengisytiharan harta anggota pentadbiran awam Persekutuan termasuk ahli Kabinet diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata beliau, sebenarnya adalah lebih baik bagi setiap pegawai kerajaan dan ahli Kabinet untuk mengisytiharkan harta masing-masing kerana ia merupakan langkah untuk mencegah kegiatan yang tidak sihat.

''Kalau itu menjadi inisiatif yang ingin mereka (LPPR) lakukan, ia tidak menjadi masalah kerana kita telah pun mengisytiharkannya (harta) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia telah bermula sejak era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment