My Add

Saturday 7 January 2012

Pas serah kepada ahli buat pilihan sertai kempen

KUALA TERENGGANU, SABTU, 07 Januari, 2012: Pas tetap dengan pendiriannya tidak menggalak atau melarang rakyat termasuk penyokong parti itu untuk menyertai Kempen Bebaskan Anwar 901 di Kuala Lumpur Isnin ini.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, pendirian itu merupakan keputusan kepimpinan tertinggi parti dan ia tetap tidak berubah.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, terserah kepada rakyat atau sesiapa sahaja termasuk penyokong parti Pas sama ada mahu menyertai demonstrasi berkenaan atau sebaliknya.

"Memang itu keputusan parti, kita tak larang dan kita juga tidak galakkan mereka sertai perhimpunan tersebut.

"Terserah kepada mereka sama ada mahu sertai atau sebaliknya. Rakyat atau sesiapa sahaja bebas membuat keputusan, itu hak mereka," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau diminta mengulas teguran bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali bahawa tidak wajar rakyat diheret menyertai perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasan yang tidak rela anak-anak muda diheret sama turut menyelar Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman yang menggesa ahli parti itu menyertai perhimpunan tersebut sedangkan tiada arahan khusus dibuat oleh pimpinan peringkat pusat.

Ditanya tindakan Hasan itu yang pendiriannya dilihat bercanggah dengan Abdul Rani, Harun menjelaskan, Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berhak berpendapat sedemikian.

"Itu saya tak tahu sebab saya belum baca lagi kenyataan beliau, tetapi itu pendapat beliau. Yang pasti, keputusan parti tetap tak berubah," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment