My Add

Sunday 22 January 2012

Pasar raya minta maaf

IPOH, AHAD, 22 Januari, 2012: Selepas dikecam pelbagai pihak, pengurusan sebuah pasar raya di Taiping yang mencetuskan kontroversi kerana mengarahkan pekerja Islam memegang daging babi tanpa lapik akhirnya akur dengan mewujudkan kaunter khas barangan tidak halal.

Pengerusi Perkasa Daerah Larut, Matang dan Selama, Baqer Che Ron berkata, melalui perjumpaan dengan pihaknya semalam, pengurusan pasar raya tersebut bersetuju menyediakan kaunter itu dengan menempatkan juruwang bukan Islam.

"Kita berjumpa dengan pihak pengurusan pasar raya tersebut dan berbincang mengenai masalah ini dan perbincangan dijalankan secara baik.

"Mereka meminta maaf dan bersetuju membuka sebuah kaunter pembayaran barangan tidak halal yang akan dijaga juruwang bukan Islam," katanya ketika dihubungi semalam.

Ruangan Forum Utusan Malaysia Rabu lalu menyiarkan keluhan Juruwang Teraniaya yang bertugas di sebuah pasar raya di Kamunting, Taiping dekat sini apabila dia diarahkan memegang daging babi tanpa lapik.

Juruwang tersebut menyatakan perkara itu timbul apabila pengurusnya menerima aduan seorang pelanggan bukan Islam yang mempertikaikan mengapa juruwang Melayu Islam memegang daging babi beralaskan plastik seolah-olah menghina makanannya.

Baqer berkata, perjumpaan bersama pengurusan pasar raya tersebut diadakan bagi mendapat gambaran sebenar kejadian dan daripada maklum balas diterima, terdapat salah faham antara pihak pengurusan dan pekerja.

Menurutnya, isu tersebut tidak sepatutnya timbul sekiranya pihak pengurusan lebih prihatin dan sensitif dengan menyediakan kaunter barangan tidak halal sejak awal lagi. - MM

No comments:

Post a Comment