My Add

Saturday 14 January 2012

Pasukan petugas ditubuhkan bagi semak semula SBPA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 Januari, 2012: Satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, pasukan itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Menurutnya, ia juga akan dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Kewangan; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta pegawai kementerian yang berkaitan.

‘‘Semakan semula ini tidak menjejaskan SBPA yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu. Pasukan petugas itu akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja,’’ katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan SBPA akan disemak semula yang bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu.

Mohd. Sidek berkata, pasukan berkenaan diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April ini untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan.

Ujarnya, isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah diajukan dalam tempoh sebulan iaitu sehingga 15 Februari ini kepada Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Farida Mohd. Ali di alamat Jabatan Perkhidmatan Awam, Aras 13, Blok C1, Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62510 Putrajaya atau emel, farida.sbpa@jpa.gov.my.

‘‘Bagi mereka yang telah bersetuju memilih SBPA, opsyen tersebut adalah kekal. Bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA dan tidak memilih skim tersebut, borang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad ke atas semakan semula itu dibuat.

‘‘Kerajaan memberi jaminan SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik (less favourable) daripada terma dan syarat skim yang telah ditawarkan terdahulu termasuklah kemudahan dan gaji,’’ katanya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment