My Add

Sunday 15 January 2012

Peguam elak buat tuduhan liar - Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA, AHAD, 15 Januari, 2012: Para peguam diingatkan supaya tidak membuat sebarang tuduhan liar dan tidak berasas kepada hakim-hakim kerana pernyataan mereka dipandang serius oleh masyarakat.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria berkata, tuduhan-tuduhan sedemikian harus dielakkan kerana ia boleh menjejaskan integriti badan kehakiman.

"Hakim merupakan insan biasa, mereka juga melakukan kesalahan ketika membuat keputusan. Ia boleh diterima asalkan keputusan itu tidak berat sebelah dan bebas daripada campur tangan," katanya berucap ketika merasmikan pembukaan Tahun Perundangan 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Turut hadir Ketua Hakim Singapura, Chan Sek Keong; Ketua Hakim Indonesia, Harifin Andi Tumpa dan Ketua Hakim Brunei Darussalam, Datuk Seri Kifrawi Kifli.

Peringatan itu turut ditujukan kepada hakim dan pegawai kehakiman supaya tidak mendedahkan diri kepada amalan rasuah atau menyalahguna kedudukan sebagai penegak keadilan.

Menurut Ketua Hakim Negara, tingkah laku hakim tidak kira secara sulit atau atas kapasiti rasmi, tertakluk kepada penelitian umum menjadikan mereka tiada pilihan selain mengekalkan maruah dan integriti masing-masing.

Katanya, selaku hakim mereka tidak bertanggungjawab kepada sesiapapun selain undang-undang yang perlu ditadbir tanpa rasa takut dan memihak.

Beliau turut mencuit hati hadirin berhubung keputusan dua kes yang jelas menunjukkan kurangnya sensitiviti berhubung kesedaran melindungi hidupan liar yang hampir pupus.

Beliau merujuk kepada satu keputusan kes pada 2005 yang mana Mahkamah Majistret Tumpat, Kelantan hanya mengenakan denda RM7,000 kepada pesalah yang didapati memiliki bangkai harimau yang merupakan spesies yang dilindungi.

Dalam satu kes pula, seorang lelaki terpaksa merengkok dalam penjara selama lima tahun kerana kesalahan mencuri 11 tin Tiger Beer dan Guinness Stout yang hanya bernilai RM70.

"Sudah pasti harimau nilainya melebihi 11 tin minuman keras Tiger Bear. Jelas dalam dua kes tersebut, nilai sensitiviti telah disalah letak," ujar beliau sambil disambut ketawa spontan hadirin. - MM

No comments:

Post a Comment