My Add

Sunday 15 January 2012

Peladang, penternak, nelayan perlu tingkatkan hasil

PARIT BUNTAR, AHAD, 15 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh warga peladang, penternak dan nelayan supaya melakukan transformasi minda bagi menjayakan agenda kerajaan dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara ke tahap lebih tinggi.

Perdana Menteri berkata, dalam mendepani suasana ekonomi global yang tidak menentu selain peningkatan mendadak populasi dunia, golongan itu memainkan peranan yang cukup besar bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

Sehubungan itu, Najib mahu supaya anjakan pemikiran dijadikan asas paling penting dalam meningkatkan produktiviti hasil pertanian melalui penggunaan teknologi baru serta amalan kaedah pertanian baik.

"Kalau ada satu perkataan yang boleh saya luahkan dan signifikannya amat besar dalam bidang pertanian, perkataan itu tidak lain tidak bukan produktiviti atau daya pengeluaran.

"Jika kita boleh masukkan dalam minda (mengenai) produktiviti, maka itulah titik tolak perjalanan untuk kita capai perubahan yang besar untuk diri dan sektor pertanian," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan dua Timbalannya, Datuk Mohd. Johari Baharum dan Chua Tee Yong serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011- 2020 yang menggariskan lapan idea utama termasuk mengenai jaminan bekalan makanan dan pembangunan pertanian mapan.

Najib berkata, dengan penggunaan teknologi baru serta amalan pertanian baik, setiap inci tanah pertanian mampu dibangunkan secara maksimum sehingga memberi pulangan yang lumayan.

Beliau menarik perhatian bagaimana negara kecil seperti Belanda mampu mengeluarkan hasil pertanian yang cukup tinggi sehingga muncul sebagai sebuah negara maju.

"Kalau kita nak lihat kawasan tanah yang lebih luas, ia tidak mudah pada masa ini, justeru fokus kita ialah bangunkan setiap inci tanah. Setiap inci tanah yang terbiar perlu kita bangunkan dengan kaedah baru supaya mampu meningkatkan produktiviti," ujarnya.

Perdana Menteri berkata, transformasi minda juga mampu membantu golongan terbabit menambah nilai setiap tanaman yang diusahakan supaya mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau memberi contoh kejayaan yang dikecapi penternak udang galah berskala besar di kawasan Tanjung Tualang, Kampar dekat sini yang sebelum ini hanya merupakan kawasan lombong bijih timah.

"Aktiviti bijih terpaksa ditutup kerana lumpuh, tetapi hari ini mereka telah jadi penternak udang galah secara besar-besaran sehingga bekalan tidak cukup kerana permintaan sangat besar.

"Ingatlah bahawa transformasi paling mencabar bukan dari segi fizikal tetapi dari segi minda, sebab kalau kita boleh buat transformasi minda, apa jua kemungkinan boleh jadi kenyataan," tambah beliau. - MM

No comments:

Post a Comment