My Add

Wednesday 18 January 2012

Pelampau kewangan dikekang dengan moral, kesederhanaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata badan kewangan antarabangsa boleh mengekang perbuatan pelampau kewangan yang menghancurkan kehidupan jutaan penduduk dunia melalui pendekatan moral dan kesederhanaan. 

Perdana Menteri berkata pendekatan itu menghasilkan pertumbuhan yang mampan dan mewujudkan keadilan sosial.

Pelampau kewangan ini adalah seperti perbuatan membuat pinjaman yang berlebihan melalui sandaran yang kecil, pertukaran kemungkiran kredit yang membingungkan dan perbuatan pinjaman subprima yang sewenang-wenangnya, katanya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pergerakan Moderat Global pertama.

Beliau melabelkan krisis kewangan yang dialami di seluruh dunia sebagai "salah satu peristiwa yang sangat keterlaluan" yang pernah disaksikan oleh sejarah, 
Persidangan itu menandakan langkah terbaharu di dalam usaha Perdana Menteri memupuk kesederhanaan sebagai penawar terhadap segala bentuk perbuatan ekstremisme atau pelampau. 

Ucaptamanya termasuk pelancaran secara rasmi Yayasan Pergerakan Moderat Global, yang merupakan satu pusat mengumpul dan menyebarkan maklumat serta bahan-bahan kempen bagi menyertai usaha itu. 

Najib turut mengumumkan pelan penubuhan Institut Wasatiyyah sebagai sebahagian daripada Pejabat Perdana Menteri.

"Wasatiyyah" adalah konsep yang memupuk sifat kesederhanaan dan keseimbangan di dalam semua bentuk kehidupan. 

Perdana Menteri berkata Pergerakan Moderat Global itu perlu dipacu oleh tindakan popular dari peringkat akar umbi dan tidak diterajui oleh kerajaan melalui pendekatan dari atas ke bawah dan kedua-dua Yayasan serta Institut berkenaan akan membantu menjadikan wawasan itu sebagai satu kenyataan. 

Najib berkata: "Gambaran yang diberikan kepada dunia melalui peristiwa 11 September, 2011 atau lebih dikenali sebagai 9/11 telah mengejutkan satu kehidupan satu generasi penduduk dunia serta menggugat nurani penduduk dunia secara kolektif dan sebaliknya gambaran yang dilihat di luar pejabat Lehman Brothers pada pagi September yang lain beberapa tahun selepas itu menunjukkan keadaan yang biasa." 

"Seorang wanita, yang tertekan dan cemas, membawa keluar barang-barang miliknya di dalam kotak keluar dari ibu pejabat syarikat itu. Seorang eksekutif yang diaibkan, berjalan dengan pantas dan memasuki keretanya serta berlalu dengan segera." 

"Pemandangan itu tiada yang luar biasa, tetapi tanpa perlu melepaskan walau satu das tembakan pun, keadaan yang ekstrem dan keterlaluan di Wall Street di dalam beberapa hari selepas itu memberikan kesan yang buruk terhadap dunia, yang seperti yang kita ketahui dari setiap perinciannya," katanya. 

"Jadi, bagaimanakah kita boleh mewujudkan keadaan ekonomi global yang benar-benar sederhana demi kepentingan golongan yang banyak dan tidak yang segelintir? 

"Bagaimanakah boleh kita mencipta satu sistem yang memberikan keadilan terhadap kepentingan "golongan 99 peratus" dan bukan semata-mata mereka yang berada ditampuk pembuat keputusan? 

"Secara mudahnya, kita tidak boleh lagi membenarkan peraturan pasaran diberi kebebasan sepenuhnya. 

"Pasaran, seperti yang kita ketahui, adalah satu-satunya laluan yang boleh membawa kepada pertumbuhan kukuh kemakmuran dan kemampanan global - tetapi kita mesti menolak penghasilan sesuatu yang tidak adil apabila ia dibiarkan tanpa diawasi dan dengan mengamalkan amalan ekonomi yang sembrono yang menghancurkan sistem kewangan global," kata Najib. 

Katanya "perbuatan membuat pinjaman yang berlebihan melalui sandaran yang kecil, pertukaran kemungkiran kredit yang membingungkan, pinjaman subprima yang sewenang-wenangnya" adalah sama seperti perbuatan mencipta satu saintis gila di mana amalan kewangan yang baharu dan tidak difahami melanda Wall Street dan menghancurkan kehidupan jutaan manusia yang menerima kesannya." 

"Tetapi, bagaimana dengan nasib lelaki dan wanita, ahli perbankan dan pedagang yang melaksanakan tanggung jawab masing-masing tanpa memahami matlamat selain keperluan untuk diri mereka sendiri? 

"Wajah-wajah pelampau yang menghancurkan kehidupan jutaan manusia kini adalah jauh berbeza dengan pada masa lampau yang berkumis dan berjambang dan berkulit gelap serta sasa yang sebaliknya memakai suit gelap, yang duduk di kerusi empuk dan rupa wajah yang bersih," katanya. 

Najib berkata ini berbeza dengan gambaran lampau yang telah diberitahu mengenai pelampau - dan ia juga menimbulkan persoalan yang penting: bagaimanakah rupa wajah pelampau masa kini? Bagaimanakah boleh kita mengenali mereka? 

"Jawapannya, ialah pelampau atau golongan ekstrem itu sendiri, seperti sikap ekstremisme itu sendiri, wujud di dalam pelbagai bentuk dan kita hanya mengenali mereka melalui tindak tanduk masing-masing." 

Berlatarbelakangkan gambaran itulah, Perdana Menteri telah merayu supaya sikap kesederhanaan dijadikan satu pendinding bagi menewaskan golongan ektremisme atau pelampau. 

"Perbuatan penindasan dan kezaliman hanya akan berjaya apabila golongan yang prihatin terhadap kesengsaraan orang lain berpeluk tubuh, enggan menjadikan apa yang dicakapkan sebagai satu tindakan yang berkesan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment