My Add

Thursday 12 January 2012

Pembayaran BR1M mulai 15 Januari

 KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Januari, 2012: Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dilakukan selama dua bulan bermula 15 Januari ini dalam bentuk baucar tunai, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahmad Husni berkata majlis penyerahan baucar kepada pemohon yang berjaya akan diadakan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara.

"Ini bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara tersusun dan lancar agar tiada keciciran kepada pemohon yang layak menerima bantuan," katanya.
Ahmad Husni berkata, semua pemohon BR1M akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan melalui pos. 

"Dalam tempoh itu, setiap pemohon yang berjaya akan menerima surat pemakluman masing-masing secara berperingkat-peringkat dengan disertakan tarikh dan tempat majlis penyerahan baucar diadakan," katanya. 

Pemohon juga, katanya, boleh menyemak status permohonan mereka dengan menelefon talian hotline 1-800-222-500/1-300-88-3010 mulai 16 Januari ini. 

Talian ini beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja. 
Kerajaan juga akan memudahkan urusan orang ramai di kawasan luar bandar menunaikan baucar BR1M dengan menyediakan kaunter bergerak Bank Simpanan Nasional, CIMB dan Maybank pada majlis penyerahan itu. 

Baucar juga boleh ditunaikan di cawangan bank berkenaan di seluruh negara. 

Tempoh sah laku baucar adalah sehingga 15 April tahun ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment