My Add

Thursday 12 January 2012

Pemecatan Hasan dirancang PKR? – Satim Diman

SHAH ALAM, KHAMIS, 12 Januari, 2012: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd. Satim Diman tidak menolak kemungkinan tindakan pemecatan Datuk. Dr. Hasan Ali daripada Pas termasuk digugurkan sebagai Exco kerajaan negeri dirancang oleh sekutu mereka sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku kerana Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri dilihat sebagai ‘batu penghalang’ kepada agenda PKR menguasai Putrajaya serta menjadikan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Katanya, selain mengkritik serta menyifatkan perjuangan Anwar sebagai kotor baru-baru ini, Hasan sebelum ini juga dilihat menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin PKR berikutan mempertahankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menangani cubaan memurtadkan umat Islam tahun lalu.

‘‘Kita tidak menolak kemungkinan Hasan dilihat sebagai ‘duri dalam daging’ pada kaca mata PKR lantas bekas Pesuruhjaya Pas itu harus dilupuskan daripada pakatan PKR, DAP dan Pas.

‘‘Perkara itu jelas dapat dilihat apabila Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) sebelum ini mendesak Pas mengambil tindakan ke atas Hasan selain menyatakannya celupar kerana melahirkan rasa tidak setuju dengan perhimpunan Bebaskan Anwar 901, Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd. Satim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang menyatakan, tindakan Azmin membuat desakan jelas menunjukkan Timbalan Presiden PKR itu tidak menghormati sekutu mereka, Pas.

Sungguhpun begitu, katanya, Pas seolah-olah akur dengan desakan PKR apabila menerima bulat-bulat saranan Azmin sehingga akhirnya kepimpinan Pas memecat Hasan sekali gus memberikan laluan kepada Menteri Besar untuk mengambil keputusan menggugurkan beliau daripada jawatan Exco kerajaan negeri.

‘‘Ini menunjukkan PKR hanya mementingkan manfaat parti itu dan Anwar, bukannya Pas. Niat PKR untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri manakala Pas hanyalah batu loncatan bagi mereka,” ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment