My Add

Saturday 21 January 2012

Pemikiran rasional kelebihan Melayu

MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan hadirin pada majlis pembukaan Konvensyen Asal Usul Melayu - Induknya Di Alam Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Hafiz Johari

Oleh KAMIL MASLIH 

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 JanUARI, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pengaruh pemikiran rasional yang disumbangkan oleh Islam kepada bangsa Melayu adalah faktor yang menjadikan ia bangsa yang maju, moden dan akomodatif.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, melalui pendekatan yang rasional, para pemimpin yang terdahulu berjaya mendapatkan kemerdekaan negara dan mewujudkan kerjasama politik pelbagai kaum untuk mentadbir negara secara bersama.

"Melalui pendekatan yang rasional jugalah kita berjaya mengharungi beberapa episod hitam dalam sejarah hubungan kaum di negara kita dan kemudiannya bersama-sama bangkit untuk membina kekuatan sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan bersatu padu.

"Lebih penting lagi, pemikiran yang rasional membolehkan bangsa Melayu dan kaum-kaum lain di negara kita menerima perbezaan sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan dalam sebuah masyarakat majmuk yang rencam budaya, agama dan tradisi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Asal-Usul Melayu Induknya di Alam Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Konvensyen anjuran Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia itu turut dihadiri Yang Dipertuanya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman serta Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin serta tokoh pendidikan, Tan Sri Dr. Arshad Ayub.

Muhyiddin berkata, kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu padu hanya dapat direalisasikan apabila semua kaum di negara ini bersedia memupuk persefahaman antara satu sama lain, menjalin hubungan yang harmonis dan menerima perbezaan sebagai sumber kekuatan bersama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, beliau menyokong penganjuran konvensyen yang diadakan hari ini bagi memperkayakan khazanah keilmuan tentang bangsa Melayu terutama dari segi sejarah, kebudayaan dan identiti bangsa yang amat wajar sekali diwariskan kepada generasi hari ini dan akan datang.

"Dengan mengetengahkan unsur-unsur positif, kita pastinya akan dapat menyuntik semangat baru kepada bangsa Melayu untuk terus mara melangkah ke hadapan dengan semangat yang kental dan jitu demi mencipta kegemilangan masa kini dan masa hadapan," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment