My Add

Monday 9 January 2012

Pemuda Pas mahu Hasan Ali terus perjuang Islam jika ikhlas

KUALA LUMPUR, ISNIN, 09 Januari, 201: Dewan Pemuda Pas mahu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat daripada parti itu tidak meninggalkan perjuangan Islam jika benar-benar ikhlas. 

Ketuanya, Nasruddin Hassan, berkata situasi Hasan adalah sama seperti Abu Bakar Hamzah yang pernah dipecat kerana membuat kenyataan bercanggah dengan keputusan parti.

"Tetapi beliau (Abu Bakar) tidak lari meninggalkan perjuangan suci ini. Beliau berehat panjang dan akhirnya kembali semula ke pangkuan Pas di penghujung karier dan usianya," katanya dalam laman sosial Facebooknya.

Abu Bakar ialah Ketua Pemuda Pas semasa Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda menjadi Presiden Pas pada 1974, dan pernah memegang jawatan setiausaha agung parti. 

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengumumkan pemecatan Hasan berkuatkuasa serta merta daripada parti berkenaan. 

Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Pas Pusat di Kuala Lumpur berdasarkan Fasal 82(9) Perlembagaan Pas. 

Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment