My Add

Monday 9 January 2012

Pemuda Pas sokong pemecatan Hasan Ali

KUALA LUMPUR, ISNIN, 09 Januari, 2012: Dewan Pemuda Pas menyokong penuh keputusan memecat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang dibuat secara musyawarah oleh Pas Pusat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, menurut peruntukan parti, Hasan masih boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama berhubung pemecatan itu.

''Kepada Datuk Dr. Hasan Ali, jika anda benar - benar ikhlas dengan perjuangan Islam, anda tidak lari meninggalkan perjuangan ini," katanya seperti yang tersiar di dalam laman sosial, Facebooknya semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pemecatan Hasan sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta hasil mesyuarat yang diadakan Pas Pusat hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pas menjelaskan, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) dan setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa Pas Pusat.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.

Nasrudin turut membandingkan situasi Hasan dengan apa yang pernah berlaku kepada bekas Ketua Dewan Pemuda Pas, Datuk Abu Bakar Hamzah yang pernah dipecat kerana membuat kenyataan yang bercanggah dengan keputusan parti.

''Tetapi beliau tidak lari meninggalkan perjuangan suci ini. Beliau berehat panjang dan akhirnya kembali semula kepangkuan Pas di penghujung karier dan usianya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment