KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Januari, 2012: Penduduk di sekitar Prima Setapak membantah cadangan Bazar Sore 1Malaysia di kawasan tanah lapang di situ kerana dikhuatiri mengganggu, kesesakan, gejala sosial dan jenayah.
Bantahan bazar yang dijadualkan beroperasi dari pukul 2 petang hingga 2 pagi itu dikemukakan oleh penduduk menerusi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.
Sehubungan itu, Choo Keong berkata, beliau menghantar dua surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak dua minggu lalu tetapi belum mendapat sebarang jawapan.
Menurutnya, pihak swasta tidak seharusnya dibenarkan menggunakan logo dan nama 1Malaysia sewenang-wenangnya kerana ia boleh mengelirukan masyarakat.
"Rakyat akan menganggap bazar itu satu projek kerajaan, sekali gus menyalahkan kerajaan, apatah lagi tanah itu milik kerajaan tetapi disewakan kepada pihak penganjur," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengumpul tanda tangan penduduk bagi membantah cadangan bazar tersebut di Pasar Jalan Genting Klang di sini baru-baru ini.
Choo Keong berkata, pihak penganjur juga dikatakan sudah menerima deposit daripada peniaga walaupun DBKL masih tidak meluluskan cadangan bazar itu.
"Saya menasihatkan peniaga supaya tidak membayar deposit kepada penganjur terlebih dahulu kerana bazar ini masih belum diluluskan," jelasnya.
Beliau berharap DBKL tidak meluluskan cadangan bazar itu kerana ia bukan sahaja akan menganggu ketenteraman penduduk malah menggalakkan gejala lepak.
Sementara itu, penganjur Bazar Sore 1Malaysia mendakwa, bazar itu bertujuan memberi peluang kepada peniaga mencari rezeki terutama menjelang Tahun Baru Cina.
Wakilnya, Low Kok Heng berpendapat, kesesakan tidak seharusnya dijadikan alasan kerana kawasan tersebut sememangnya sudah sedia sesak kerana banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan.
"Dia (Choo Keong) sepatutnya buat aduan mengenai masalah kekurangan tempat meletak kenderaan dan mencari penyelesaian tentang hal itu dan bukannya menghalang kami untuk membuka bazar ini.
"Kalau dikaitkan dengan kes jenayah pula, bila bazar dibuka nanti mesti ada pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan di sini," katanya ketika ditemui di tapak cadangan bazar tersebut.
Kok Heng memberitahu, mengikut cadangan, bazar tersebut akan mempunyai 350 tapak gerai dan beliau bertanggungjawab menjaga hal ehwal peniaga Cina. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment