My Add

Wednesday 11 January 2012

Penduduk dakwa MB 'balas dendam'

 SEBAHAGIAN penduduk Kampung Seri Aman menunjukkan kawasan berbukit dipenuhi semak-samun yang mereka dakwa akan diberikan oleh kerajaan negeri Selangor sebagai ganti tanah yang diduduki di Ijok .
KUALA SELANGOR, RABU, 11 Januari, 2012: Isu pemilikan tanah di Kampung Seri Aman, Ijok di sini seperti tiada kesudahannya.

Khabar terbaru ialah penduduk asal penempatan itu yang terdiri daripada 111 keluarga mendakwa telah 'dipermainkan' sekali lagi oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mereka juga mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu cuba 'membalas dendam' apabila berura-ura untuk 'memindahkan' penduduk ke kawasan hutan dan berbukit yang belum diteroka, yang terletak bersebelahan dengan penempatan asal mereka.

Penduduk mendakwa mengetahui mengenai perkara ini ketika menemui seorang pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor bagi mengetahui status penempatan mereka beberapa hari lalu.

Seorang penduduk, K. Saravanan, 36, mendakwa, jika perkara ini benar, dia tidak menolak kemungkinan Abdul Khalid sengaja berbuat demikian bagi 'membalas dendam' ekoran rasa malu selepas insiden pertengkaran mulut antara dirinya dengan penduduk kampung disiarkan oleh media elektronik dan media cetak.

Ini kerana dakwanya, penduduk pasti tidak mampu untuk berpindah kerana kos meneroka tanah hutan dan membina rumah baru sangat besar walaupun kawasan hutan dan berbukit itu terletak di sebelah kawasan yang diduduki mereka sekarang.

"Tanah itu memang kawasan hutan dan terletak di atas bukit. Kami dengar kerajaan negeri bagi kami tanah di situ dan suruh kami bangunkan infrastruktur sendiri dan bina rumah.

"Kami terkilan dengan apa yang Menteri Besar yang juga wakil rakyat kami buat. Dia memang nak balas dendam pada kami," dakwanya kepada pemberita semasa mesyuarat bantahan terhadap kerajaan PKR Selangor di Kampung Seri Aman di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, K. Manivanan, 43, pula berkata, penduduk sudah bosan dengan sikap Menteri Besar yang sentiasa memberi kenyataan yang berubah-ubah kepada rakyat.

"Kami minta agar tidak dipermainkan. Kami hanya mahu menuntut janji yang dibuat kepada kami semasa kerajaan negeri PKR mahu memenangi undi kami pada pilihan raya umum 2008. Kami tidak akan berganjak dengan keputusan kami dan kerajaan negeri sila tunaikan janji," katanya.

Sementara itu, wakil penduduk, Johnson Ganaparagasan, 48, berkata, penduduk akan berjumpa semula dengan pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor esok bagi menyerahkan memorandum bantahan daripada penduduk berkenaan tanah lot yang diberikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment