My Add

Monday 16 January 2012

Pengganti Hasan Ali diumum Rabu ini: MB

SHAH ALAM, ISNIN, 16 Januari, 2012: Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang akan menggantikan Datuk Dr Hasan Ali hanya akan diumum pada majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini Rabu ini. 

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ini kerana beliau dan kepimpinan PAS masih berbincang mengenai calon yang sesuai bagi menggantikan Hasan yang dipecat dari PAS baru-baru ini.

"Saya dan PAS memutuskan untuk mengumumkan Ahli EXCO Selangor yang baru itu pada Rabu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan kerajaan negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid sebelum ini meminta Hasan mengosongkan jawatan EXCO itu kerana beliau sudah dipecat daripada PAS pada 8 Januari dan dengan itu, tidak lagi mewakili parti berkenaan dalam kerajaan negeri. 

Jumaat lalu, Menteri Besar itu berkata Sultan Selangor berkenan membatalkan pelantikan Hasan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

Abdul Khalid berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat beliau kepada baginda ketika menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini. 

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dipecat daripada PAS pada Ahad lalu kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu. 
Hasan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, 
Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor. 

Ditanya sama ada akan berlaku perubahan portfolio ahli EXCO yang baru, Abdul Khalid berkata: "Ia akan diumum apabila tiba masanya". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment