My Add

Thursday 12 January 2012

Pengganti Hasan masih jadi tanda tanya

SHAH ALAM, KHAMIS. 12 Januari, 2012: Pengganti Datuk Dr. Hasan Ali yang sebelum ini diminta meletakkan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri secara sukarela masih menjadi tanda tanya apabila Pas Selangor mengambil sikap tunggu dan lihat selain enggan mendedahkan calon untuk mengisi jawatan itu.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya menyerahkan segala-galanya kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membuat keputusan mengenainya.

‘‘Kita tunggu Presiden (Abdul Hadi)... saya rasa kita tak boleh mendahului pimpinan pusat dan apa-apa jadi sekali pun saya terpaksa menunggu arahan Presiden saya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali; Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Alam Sekitar dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman disebut-sebut bakal menggantikan tempat Hasan yang dipecat, Ahad lalu.

Abdul Rani dikatakan calon paling sesuai untuk menggantikan tempat Hasan kerana kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu Pas negeri selain dirinya yang dilihat lebih disenangi pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini.

Kelmarin, Abdul Khalid meminta agar Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia melepaskan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri secara sukarela.

Sementara itu, wartawan yang menunggu kira-kira sejam di Aras 20, Bangunan SUK kecewa apabila Abdul Khalid seolah-olah mengelak bertemu mereka kerana tidak hadir pada sidang akhbar yang dijadualkan diadakan selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri itu.

Ketiadaan Menteri Besar menyebabkan beberapa persoalan membabitkan kerajaan negeri termasuk perkembangan pengganti Hasan dan isu pemilikan tanah penduduk Kampung Seri Aman, Ijok dekat sini gagal diajukan.

Sebaliknya, pada sidang akhbar berkenaan Yaakob memberi alasan Abdul Khalid tidak dapat hadir kerana perlu bergegas untuk menghadiri satu mesyuarat penting tanpa mendedahkan lokasinya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment