My Add

Saturday 21 January 2012

Pengikut Twitter Perdana Menteri cecah 400,000 orang

KUALA LUMPUR, SABTU,  21 Januari, 2012: Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas terbukti di alam maya apabila jumlah pengikutnya di laman sosial, Twitter melepasi angka 400,000 orang hari ini.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati angka itu jauh meninggalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuma mempunyai 126,244 pengikut.

Perbezaan itu lebih ketara jika perbandingan dibuat dengan akaun Twitter Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang hanya mempunyai 48,675 pengikut dan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim dengan 33,987 pengikut.

"Jumlah pengikut saya di Twitter sudah melepasi 400,000 orang. Terima kasih atas sokongan anda semua. Diharap interaksi kita akan berterusan.

"Saya terharu kerana dapat menjangkau 400,000 pengikut Twitter. Saya akan berusaha lebih gigih lagi untuk anda semua dan negara," katanya melalui twit yang dihantar kira-kira pukul 6.40 petang hari ini.

Setakat pukul 7 malam ini, pengikut beliau telah mencecah 401,115 orang.

Kemesraan dan keterbukaan Perdana Menteri dalam laman sosial itu mungkin antara perkara yang menjadikannya cukup popular di kalangan rakyat.

Buktinya, salah seorang pengikut beliau, steven_msia menghantar twit: "Sesetengah komen tidak cerdik di laman Facebook Ah Jib Gor tidak menggambarkan pandangan keseluruhan masyarakat Cina. Hanya satu peratus mungkin. 99 peratus lagi menyayangi Ah Jib Gor!"

Ia langsung dibalas Perdana Menteri dengan twit berbunyi: "Terima kasih Steven. Saya harap dapat menawan hati semua."

Selain Twitter, akaun Facebook Perdana Menteri turut mendapat perhatian apabila laman peminatnya mencatatkan 927,505 'like'.

Akaun Facebook berbahasa Mandarin yang baru beliau lancarkan tiga hari lalu, Ah Jib Gor pula sudah mencatat 12,225 pengikut.

Laman peminat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menerima 604,193 'like' diikuti Anwar yang mendapat 343,615 'like'.

Kit Siang pula jauh ketinggalan dengan hanya 83,331 'like'.


No comments:

Post a Comment