My Add

Sunday 15 January 2012

Perak terima peruntukan lebih RM555 juta

PARIT BUNTAR, AHAD, 15 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat lawatan dua hari ke Perak mengumumkan beberapa peruntukan yang kesemuanya berjumlah RM555.03 juta demi faedah rakyat berbilang kaum di negeri ini termasuk untuk pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) daerah Kerian.

Sebanyak RM540 juta diluluskan bagi projek tebatan banjir yang memberi kelegaan kepada kira-kira 100,000 penduduk sekitar Utara Perak khususnya di daerah Kerian yang sering dihantui masalah banjir.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah tersebut, RM490 juta disalurkan khusus untuk projek tebatan banjir di Sungai Kerian dan Sungai Kurau manakala RM50 juta lagi bagi membina ban batu di hadapan laut sekali gus mencegah air masin mengalir ke kawasan sawah padi.

Najib memberitahu, peruntukan tersebut diluluskan ekoran permohonan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sendiri yang meminta supaya masalah banjir yang menghantui penduduk kawasan tersebut sejak sekian lama diselesaikan segera.

"Beliau (Zambry) beritahu daerah Kerian ini selalu dilanda banjir yang serius. Jadi, kita ambil keputusan luluskan projek tebatan banjir sebanyak RM490 juta. Fasa pertama projek tebatan banjir ini sudah ditender dan kita sedang tunggu pihak mana yang berjaya," katanya.

Beliau mengumumkan berita gembira itu ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung di Padang Bandaran di sini semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk membina sebuah hospital pakar mempunyai lebih 300 buah katil di daerah tersebut yang bakal dibina di tapak Hospital Parit Buntar di sini.

Sementara itu, pada Majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia dekat Masjid Tinggi di Kampung Parit Haji Taib, Bagan Serai dekat sini petang ini, Najib meluluskan peruntukan lebih RM7 juta bagi menunaikan segala janji yang dibuat oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) di kawasan itu pada 2008.

Peruntukan tersebut melibatkan RM4.5 juta bagi pembinaan dewan orang ramai, kompleks sukan mini (RM2.5 juta), maahad tahfiz (RM250,000) dan RM80,000 untuk penambahbaikan Galeri Banjar di situ.

Terdahulu pada sebelah pagi, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Zambry serta kepimpinan BN negeri menyertai lebih 4,000 masyarakat berbilang kaum di daerah ini dalam program Senaman 1Malaysia di Padang Esplanade di Taiping dekat sini.

Najib kemudiannya beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di Casual Market sebelum menikmati sarapan nasi lemak sambal sotong, pasembor, popia basah, mee goreng mamak dan teh tarik di pasar tersebut.

Selepas menyempurnakan majlis perasmian HPPNK, Najib menunaikan solat zuhur di Masjid Tinggi di Bagan Serai sebelum menghadiri Kenduri Rakyat 1Malaysia yang dihadiri kira-kira 5,000 orang berhampiran masjid itu.

Ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat Parlimen Larut yang dihadiri 5,000 orang di Felda Ijok, Selama dekat sini, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM7.7 juta untuk pembangunan di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kubu Gajah, Selama dan Batu Kurau termasuk pembinaan sebuah stadium mini.

Sementara itu, Zambry berterima kasih kepada Perdana Menteri yang bermurah hati meluluskan pelbagai projek yang memberi manfaat secara langsung khususnya kepada rakyat Perak. - MM

No comments:

Post a Comment