My Add

Sunday 15 January 2012

Perhimpunan: Penduduk dibenar bantah

PUTRAJAYA, AHAD. 15 Januari, 2012: Mana-mana pihak yang dibatalkan permohonan untuk menganjurkan perhimpunan aman di kawasan yang tidak ditetapkan boleh mengemukakan rayuan terus kepada Menteri Dalam Negeri berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2011.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, rayuan boleh dikemukakan selepas permohonan itu dibatalkan polis kerana gagal memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini memerlukan penganjur menyediakan notis awal iaitu sekurang-kurangnya 10 hari jika berhimpun di kawasan yang tidak ditetapkan.

"Notis itu memerlukan penganjur mengisi maklumat seperti nama, tujuan perhimpunan, masa, tarikh dan tempat berhimpun serta anggaran peserta.

"Setiap notis dan maklumat yang diberikan itu untuk membolehkan polis berhubung dengan pemegang amanah serta penduduk di kawasan yang dicadangkan itu dan dalam masa sama menjaga keselamatan kedua-dua belah pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Tahun Perundangan 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria.

Tambah Abdul Gani, menerusi akta itu penduduk dibenarkan membuat bantahan jika tidak bersetuju perhimpunan diadakan di kawasan mereka.

Selain itu tegasnya, akta tersebut turut melarang perhimpunan diadakan di beberapa kawasan atas faktor keselamatan seperti rumah ibadat, sekolah, hospital, stesen minyak dan landasan kereta api.

"Ketegasan dan peraturan yang ditetapkan itu bukan untuk membebankan atau menyusahkan penganjur mahu pun peserta tetapi ia untuk memastikan perhimpunan di kawasan yang tidak ditetapkan berjalan dengan aman dan dalam masa sama mempertahankan hak dan kebebasan penganjur, peserta serta orang awam," katanya.

Beliau berkata, perhimpunan aman yang diadakan sama ada di kawasan dibenarkan atau tidak turut melarang kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun menyertainya kecuali perjumpaan agama, pengebumian, kebudayaan dan yang dibenarkan oleh menteri. - MM

No comments:

Post a Comment