My Add

Friday 13 January 2012

Pertemuan Hadi, Pak Lah usaha dakwah - Nik Aziz

KOTA BHARU, JUMAAT, 13 Januari, 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas kenapa Majlis Syura tidak mengambil tindakan terhadap Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang.

Ini ekoran daripada perjumpaan Abdul Hadi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan penubuhan kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke -12 lalu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan sebaliknya menganggap perjumpaan antara Abdul Hadi dan Abdullah itu adalah umpama usaha dakwah iaitu memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam.

"Kita mahu sampaikan Islam kepada semua orang. Kalau orang Pas jumpa orang UMNO bagus kerana beri peluang kepada orang itu kenal Islam secara dekat, Islamkan komprehensif," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kelantan 2012 di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad bahawa Abdul Hadi perlu dipecat kerana telah datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri untuk membincangkan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum lalu.

Md. Alwi yang juga bekas Setiausaha Politik Tun Abdullah menyatakan demikian kerana tindakan Abdul Hadi itu dilihat membelakangkan dasar parti tetapi tidak dipecat. Sebaliknya, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dipecat kerana dianggap membelakangkan parti melalui kenyataan-kenyataan keras yang dikeluarkan.

Mengulas perkara itu, Nik Abdul Aziz sebaliknya meminta Md. Alwi dan pemimpin-pemimpin lain jangan mencampuri urusan dalam Pas kerana perjumpaan antara orang Pas dengan UMNO adalah usaha untuk memperkenalkan Islam kepada UMNO secara menyeluruh.

"Dia (Md. Alwi) sebenarnya orang UMNO, Pas ini parti lain, jangan campur hal orang lain, kalau campur hal orang lain, mereka campur hal kita pula," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment